Nasionalpilihan

RM2.4 bilion rancakkan aktiviti FELDA, FELCRA, RISDA

Kerajaan menyediakan RM2.4 bilion kepada FELDA, FELCRA dan RISDA untuk terus merancakkan aktiviti agrikomoditi dan meningkatkan sosioekonomi pekebun kecil.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang 2027, keluasan sawit tua lebih 25 tahun dijangka mencapai lebih 560,000 hektar.

Menurutnya, ini akan menjejaskan produktiviti hasil buah tandan segar dan akibatnya kerugian dianggarkan mencecah sehingga RM7 bilion setahun.

“Bagi membendung masalah ini, kerajaan akan menyediakan Insentif Program Tanam Semula Sawit dengan peruntukan RM100 juta.

“Insentif ini akan ditawarkan secara geran dan pinjaman kepada kira-kira 7,000 pekebun kecil sawit persendirian.

“Industri kelapa sawit negara perlu dipertahan daripada salah tanggap Eropah.

“Justeru, kerajaan menyediakan RM70 juta bagi meningkatkan tahap kemampanan industri sawit serta memperhebat Kempen Menangani Antiminyak Sawit di pentas antarabangsa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM90 juta kepada RISDA dan FELCRA untuk menggalakkan pekebun kecil mengoptimumkan penggunaan tanah ladang melalui penghasilan tanaman makanan dan ternakan seperti cendawan, nanas, kelapa matag, lembu dan ayam.

Menurutnya, Lembaga Getah Malaysia telah berjaya membangunkan kaedah penggunaan gas stimulan yang berupaya memangkin pengeluaran getah sehingga tiga kali ganda di samping mampu menambah jangka hayat pokok getah sehingga 25 tahun.

Beliau berkata, sebanyak RM10 juta disediakan bagi melaksanakan projek rintis penggunaan gas stimulan untuk manfaat pekebun kecil getah di ladang seluas 1,000 hektar.

Sehubungan itu katanya, bagi meningkatkan produktiviti hasil perladangan dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing melalui mekanisasi dan automasi seperti dron dan kenderaan pandu sendiri, skop galakan cukai automasi akan diperluas untuk meliputi sektor komoditi di bawah Kementerian
Perladangan dan Komoditi.

“Dalam Belanjawan 2023, saya telah menaikkan paras harga pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram.

“Sekali lagi setelah mendengar keluhan para pekebun getah, kerajaan bersetuju untuk menaikkan paras harga pengaktifan IPG kepada RM3 sekilogram dengan peruntukan RM400 juta. – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button