Nasional

Depani cabaran bidang kefatwaan dengan efektif, berhemah – Raja Muda Perlis

Cabaran yang dihadapi kini dan akan datang memerlukan komitmen tinggi para ilmuan khususnya bidang kefatwaan. Permasalahan feqah dan penyelewengan akidah yang kompleks dengan kemodenan arus dunia siber memerlukan kepada solusi dan pencerahan dari institusi kefatwaan dalam berhadapan dengan masyarakat.

Adalah diharap agar kita dapat mendepani cabaran ini dengan lebih efektif, progresif, bersatu tenaga dan berhemah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di majlis ‘Jasa Mu DiKenang – Bekas Timbalan Mufti Negeri Perlis, Ustaz Roslan Esa dan Bekas AJK Fatwa Negeri Perlis, Ustaz Abdul Hadi Haji Osman’ yang diadakan di M Tasoh Lake Resort, Kaki Bukit pada malam semalam.

Keberangkatan tiba baginda ke majlis yang dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Perlis itu disambut oleh Mufti Perlis Datuk Arif Perkasa Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta para Ashabul Fadhilah Ahli-ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis.

Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs, Manhaj Ahli Sunnah Wal Jamaah sepatutnya membawa kita semua insaf dalam menilai pihak lain. Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak mengkafirkan atau menyesatkan sesiapa sahaja yang berbeza ijtihad ataupun pandangan dengan mereka. Namun, ini tidak menghalang untuk mengkritik sebarang kesilapan itu dengan ilmiah dan fakta bernas. Kita juga tidak akan menyamakan pencinta agama dengan penjenayah yang memang bermaksud buruk dan tidak berhasrat baik.

‘Dalam agama, kita akan dapati sepanjang sejarah pelbagai imam dengan pelbagai ijtihad mereka. Ada yang mungkin dipersetujui, mungkin ada sebaliknya. Di sudut ilmiah, tiada siapa yang maksum. Setiap pandangan berhak dinilai dan dikritik.’ tambah Tuanku Raja Muda Perlis.

Untuk rekod, Ustaz Roslan telah dinaikkan pangkat dan kini berkhidmat di Pulau Pinang. Beliau yang telah berkhidmat di Perlis selama hampir 20 tahun bermula Disember 2000 sehingga Jun 2020 sebagai Pegawai Fatwa dan juga Timbalan Mufti Negeri Perlis.

Sementara itu, Ustaz Abdul Hadi pula merupakan bekas Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang berkhidmat selama 31 tahun bermula tahun 1988 hingga 2019.

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button