Politik

Presiden Gerakan ‘dihalau’ pemimpin PAS Pulau Pinang: Oh gesa penjelasan

SEMAKIN dekat tarikh mengundi Pilihan Raya Negeri di enam negeri, kuat pula pergolakan dalam Perikatan Nasional (PN) di antara parti gabungan PAS dan Gerakan.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong menggesa PAS menjelaskan punca Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau dihalang daripada menghadiri ceramah parti tu di Sungai Dua, Pulau Pinang, Selasa lalu.

Timbalan Presiden Gerakan, Oh Tong Keong

Video oleh Malaysiakini memaparkan Lau dihalang oleh seorang pemimpin PAS Pulau Pinang daripada mengikuti Naib Presiden parti PAS, Idris Ahmad ke atas pentas.

Apabila ada yang memprotes, kedengaran pemimpin PAS berkata kepada Lau “Tak boleh (Tidak boleh). You go away.”

Oh berkata, PAS tidak menghormati Lau yang juga merupakan Timbalan Pengerusi dan Ketua Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang.

“Walaupun Lau tidak dijemput, dia adalah salah seorang pemimpin tertinggi PN. Penganjur acara harus menganggapnya sebagai tetamu. Itu tidak sopan,” kata Oh yang dipetik dalam laporan China Press.

Dalam kejadian itu, Lau diminta keluar meninggalkan ceramah PN di Sungai Dua kerana hadir tanpa jemputan.

Lau bagaimanapun menafikan beliau ‘dihalau’ dan mengakui tidak dijemput menyertai majlis ceramah itu.

Menurutnya, beliau berada di sana untuk berjumpa Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tetapi memandangkan majlis itu lambat bermula, beliau tidak dapat bercakap dengannya dan beredar dari situ.

Sebelum ini timbul tentangan daripada ahli PAS susulan pencalonan Lau di DUN Bayan Lepas pada PRN 12 Ogos ini kerana berpendapat, kerusi majoriti Melayu itu sepatutnya ditandingi calon PAS.

Lau bagaimanapun menolak dakwaan akar umbi PAS tidak menyokongnya sambil menyatakan, ada pemimpin tempatan menyokong beliau ketika penamaan calon, Sabtu lalu.

Presiden Gerakan itu sebelum ini pernah menyatakan hasrat bertanding kerusi di Seberang Perai namun akhirnya memilih Bayan Lepas, kerusi selamat susulan kekuatan PAS disokong pengundi Melayu. – SM

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button