Nasional

Kaji nama jalan cermin jati diri negara, digalakkan guna jawi

JAWATANKUASA Menamakan Jalan di Wilayah Persekutuan boleh mengkaji untuk memperkemaskan nama-nama jalan yang terdapat di ibu negara.

Menurut Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa semua nama jalan di Kuala Lumpur perlu mencerminkan jadi diri dan sejarah negara.

Annuar berkata, semua papantanda jalan di Wilayah Persekutuan wajib ditulis dalam tulisan rumi. Manakala penggunaan tulisan jawi turut digalakkan.

“Jawatankuasa Menamakan Jalan-Jalan Wilayah Persekutuan bolehlah mengkaji memperkemaskan nama nama jalan yg boleh mencerminkan jati diri sejarah dan perjuangan negara.

“Bahasa Kebangsaan ditulis dalam tulisan rumi adalah satu kemestian. Jawi satu pilihan yang boleh digalakkan,” kata Annuar.

Sebelum ini Annuar menegur Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur kerana menukar nama Jalan Raja Laut 1 kepada Jalan Palestin.

Beliau tidak mempunyai halangan untuk menamakan jalan di ibu negara dengan nama Palestin sebagai tanda sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan pembebasan Baitulmaqqis.

Namun menurutnya, banyak lagi nama-nama jalan di Kuala Lumpur yang mengambil nama Inggeris hasil tinggalan zaman penjajahan.

“Namun, saya mahukan penjelasan kenapa memilih untuk tukar nama Jalan Raja Laut, nama besar sejarah Melayu dan Kuala Lumpur.

“Kenapa tidak tukar nama Inggeris seperti Jalan Stonor, Jalan Conlay, Jalan Cochrane dan lain-lain,” katanya.

Sebelum itu Nor Hisham, berkata cadangan untuk menukar nama tersebut tercetus semasa Majlis Himpunan Hari Quds Sedunia yang diadakan di Dataran DBKL pada 26 hingga 31 Mei tahun lalu.

“Kementerian Wilayah Persekutuan memohon kepada DBKL untuk menamakan sebatang jalan di Kuala Lumpur sebagai Jalan Palestin.

“Menamakan Jalan Palestin itu sebagai simbol sokongan Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin dalam menentang penindasan dan seterusnya menubuhkan sebuah negara Palestin,” katanya dalam kenyataan.-SM

 

(Visited 242 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button