BeritaNasional

Demi tugas, bulan madu kami tinggalkan..

PASANGAN Mohd. Nor Azwan Aziz, 27, dan Nur Diyana Khairul Anuar, 24, sepatutnya menikmati cuti bulan madu sempena perkahwinan mereka.

Namun, tuntutan tugas mendorong pasangan ini melupakan sementara kebahagian mereka demi memastikan keselamatan orang lain terpelihara.

Mohd. Nor Azwan dan Nur Diyana adalah anggota Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang baru melangsungkan perkahwinan mereka di Taman Permata, Kluang, Johor, dua hari lalu.

Semalam mereka menerima tugasan untuk membantu mangsa banjir yang dipindahkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Lukut, Kahang, Kluang.

“Tiada sesiapa memaksa kami untuk bertugas di PPS SK Kahang ini. Jika diikutkan, sememangnya kami masih bercuti.

“Tetapi disebabkan rasa tanggungjawab kepada masyarakat, kami dengan rela hati menawarkan diri bertugas dan memutuskan untuk menyertai anggota APM yang lain untuk membantu mangsa banjir,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di PPS berkenaan, malam tadi.

Jelas Nor Azwan lagi, di PPS terbabit, dia bersama isterinya (Nur Diyana) bertugas secara giliran selama lapan jam dengan anggota APM lain setelah ia dibuka semalam pada 10 pagi.

Sebaik sahaja dibuka, PPS itu menempatkan 37 mangsa daripada 11 keluarga dari kawasan berhampiran yang dinaiki air sehingga ke paras lutut akibat hujan tanpa henti hampir 12 jam.

“Setelah lapan tahun berkhidmat sebagai anggota APM, pelbagai pengalaman telah saya tempuhi, namun bertugas ‘bersama isteri’ adalah satu pengalaman cukup berharga buat kami.

“Bagaimanapun saya dan isteri sekali lagi menegaskan yang kami bertugas ini adalah demi tanggungjawab kami sebagai anggota penyelamat yang tugas kami membantu dan menyelamat mereka yang memerlukan,” katanya.

(Visited 164 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button