Luar Negara

Pergi bercuti dengan kekasih, anak 3 tahun ditinggalkan berseorangan seminggu maut

TERGAMAK seorang ibu meninggalkan anak yang berusia tiga tahun bersendirian di rumah sehingga anaknya meninggal dunia kerana ingin bercuti dengan kekasih hati.

Itu lah yang berlaku di Jepun di mana seorang wanita dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun oleh mahkamah daerah Tokyo kerana didapati bersalah mengabaikan anaknya sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia.

Menurut laporan, kejadian tersebut berlaku di Jepun pada 2020 yang lalu di mana tertuduh, Saki Kakehashi, 26, meninggalkan mangsa bersendirian di rumah selama seminggu untuk pergi bercuti bersama kekasihnya.

Dipercayai Saki telah meninggalkan teh dan gula-gula untuk anak perempuannya, Noa di apartmen mereka di bandar Ota.

Selain itu, Saki dikatakan bertindak menyekat Noa di ruang tamu dengan sofa yang menghalang laluan ke pintu dapur bertujuan untuk mengelakkan Noa daripada mencederakan diri sendiri dengan pisau atau barangan dapur lain.

Menurut Saki, dia menyangka anaknya akan baik-baik sahaja ditinggalkan di rumah.

Sekembalinya daripada percutian pada 13 Jun 2020, Saki telah membuat panggilan kecemasan dan mengatakan Noa tidak bernafas.

Namun, Noa disahkan meninggal dunia akibat dehidrasi dan kelaparan serta perut mangsa juga hampir kosong.

Selain itu, doktor mendapati ruam di bahagian punggungnya kerana lampin yang tidak ditukar terlalu lama.

Sementara itu, ketika perbicaraan, Pendakwa raya mendakwa Saki cuba menyembunyikan fakta kes dengan menyapu ubat pada ruam tersebut selain menukarkan lampin baharu sebelum dia membuat panggilan kecemasan. -SM

(Visited 308 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button