Nasional

Misi bantuan kemanusiaan Ebit Lew ke Palestin dapat kelulusan

TIMBALAN Menteri Luar, Datuk Kamarudin Jaffar memberitahu, misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang dirancang oleh delegasi pendakwah, Ebit Lew telah pun mendapat kelulusan perjalanan dan tertakluk pada SOP semasa.

Dalam satu kenyataannya hari ini, beliau berkata, pihak Kementerian Luar telah menerima panggilan daripada Ebit Lew bagi memaklumkan tentang misi kemanusiaan itu yang dijadual bermula semalam sehingga 30 Mei ini.

Beliau berkata, misi kemanusiaan ke Mesir itu bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza, baru-baru ini.

“Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ebit Lew secara terus dengan rakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ada di Mesir.

“Segala persiapan dan persediaan yang dilakukan oleh pihak Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir,” ujar Kamarudin dalam kenyataan yang sama.

Katanya lagi, walaupun misi itu adalah inisiatif Ebit Lew sendiri namun delegasi itu dinasihatkan agar sentiasa berhubung, bekerjasama dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir.

Selain itu, kata Kamarudin, segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah, juga mesti dipatuhi.

“Ini penting terutamanya demi memastikan kselamatan Ustaz Ebit dan delegasi beliau sepanjang berada di perantauan kelak,” katanya.

Kamarudin tutut mengingatkan delegasi berkenaan agar patuh semua SOP dalam negara yang sedang berkuat kuasa apabila kembali ke tanah air nanti.

Secara dasarnya, kementerian menyokong penuh usaha delegasi Ebit Lew dan sentiasa mengalu-alukan rakan NGO yang lain untuk menggerakkan pelbagai usaha bagi membantu rakyat Palestin termasuk mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan.

“Sekiranya diperlukan, kementerian boleh membantu menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh NGO kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) dibawah seliaan Kementerian Luar Negeri,” katanya.

Dalam pada itu, pihak kementerian juga ingin memaklumkan, selain membantu memudahkan usaha NGO, kerajaan juga, melalui Kementerian Luar Negeri, akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin, kata Kamarudin. – SM

 

(Visited 571 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button