Politik

Bersatu masih utuh, ahli teguh bersama Muhyiddin

PARTI  Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih utuh dan tidak terkesan dengan sebarang cubaan untuk menggugat kestabilannya, kata Timbalan Presidennya Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata majoriti ahli Bersatu masih berdiri teguh bersama kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku presiden parti walaupun wujud dakwaan terdapat usaha untuk menarik ahli keluar dan menyertai parti baru bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Pada masa yang sama, Bersatu akan terus melipat-gandakan usaha menarik ahli-ahli baru di seluruh negara …Bersatu juga sedang dalam proses pemilihan parti dan ini juga adalah sebahagian daripada usaha untuk memperkuatkan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa semua ahli Bersatu supaya memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada Muhyiddin untuk terus menumpukan usaha membela nasib rakyat dan memulihkan ekonomi negara tatkala masih “berperang” melawan pandemik Covid-19.

“Kini, presiden Bersatu adalah pemimpin utama kerajaan. Oleh itu, ini adalah masanya untuk kita memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat melalui kuasa pentadbiran kerajaan,” kata Ahmad Faizal yang juga Menteri Besar Perak.

Di Kuala Lumpur, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata tindakan mereka yang keluar daripada parti itu tidak menjejaskan perancangan bagi persidangan sayap Armada, Srikandi serta Perhimpunan Agung Tahunan parti.

Beliau berkata semua urusan parti akan berjalan seperti dirancang dengan persidangan Armada bahagian pada 15 Ogos, persidangan Srikandi bahagian pada 16 Ogos manakala persidangan bahagian akan bermula pada 22 Ogos.

Katanya Perhimpunan Agung Tahunan parti akan berlangsung pada 27 Sept manakala Perhimpunan Agung Tahunan Armada dan Srikandi pula berlangsung serentak pada 26 Sept.

“Kalau ikut perlembagaan parti, tiada isu apabila seseorang itu meninggalkan parti (walaupun) sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK), saya sebagai ahli MPT akan memastikan lantikan baru dibuat sebagaimana dibenarkan dalam perlembagaan parti,” katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Mohd Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) berkata demikian ketika diminta mengulas perkembangan parti ekoran tindakan beberapa pemimpin termasuk ketua bahagian dan AJK keluar parti dipercayai mahu menyertai parti baharu ditubuhkan Dr Mahathir yang merupakan bekas pengerusi dan antara pengasas Bersatu.

Beliau berkata mereka yang bertindak sedemikian merupakan golongan terpencil dan tidak menjejaskan kelangsungan parti. – BERNAMA

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button