Travel

Biogeotrail Kubang Badak lokasi penuh bersejarah

BIOGEOTRAIL Kubang Badak di Sungai Kubang Badak yang merangkumi 12 geotapak, antaranya Bukit Menora, Sungai Siam dan Gua Pinang merupakan salah satu tempat yang perlu dikunjungi jika bercuti di Langkawi.

Dahulu, Sungai Kubang Badak merupakan antara pengeluar utama arang kayu yang dihasilkan daripada bakau minyak dan bakau kurap.

Namun, menurut pemandu pelancong bertauliah, Iqramullah Othman, 22,  aktiviti tersebut diberhentikan selepas gugusan Pulau Langkawi diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai Langkawi UNESCO Global Geopark.

Pengiktirafan itu diperolehi pada 1 Jun 2007 yang merangkumi kesemua 99 pulau (104 ketika air surut) dan merupakan gugusan pulau yang pertama diiktiraf di Asia Tenggara.

Berkongsi mengenai Biogeotrail Kubang Badak juga dikenali sebagai Langkawi Geopark, Iqramullah berkata pelancong yang ingin mengunjungi tapak-tapak berkenaan boleh menyewa bot di Jeti Nelayan Kubang Badak dengan kadar sewa minimum RM250 sejam bagi menelusuri Sungai Siam yang biasanya mengambil masa dua hingga tiga jam.

Iqramullah juga berkongsi beberapa lokasi menarik yang boleh dikungjungi oleh pelancong.

Kebuk Arang Bersejarah

Menurut Iqramullah, tinggalan kebuk arang yang berusia 150 tahun di Bukit Menora merupakan lokasi bersejarah yang perlu dilawati.

“Menurut sejarah, komuniti masyarakat Siam di sini yang mula-mula mempopularkan kaedah penghasilan arang kayu daripada pokok bakau memandangkan kawasan ini antara kawasan perdagangan utama yang terkenal dalam kalangan pedagang luar seperti dari China dan India,” katanya.

Tambahnya, kebuk tersebut dibangunkan menggunakan batu pasir berbentuk bulat yang dikutip dari sungai dan batu pasir yang dipotong menjadi bentuk bata serta boleh memuatkan 500 hingga 1,500 batang kayu bakau yang akan dibakar.

Gua Kuno

Menurut Iqramullah, geotapak Gua Pinang yang merupakan sebuah gua laut kuno lokasi yang berbaloi untuk dikunjungi.

Gua tersebut telah terbentuk sekitar 6,000 tahun dahulu akibat daripada proses ombak ketika paras laut berada sekitar 15 meter lebih tinggi daripada sekarang dan lapisan cangkerang setebal lebih satu meter di dinding Gua Pinang turut menjadi bukti perubahan paras laut di kawasan tersebut.

Iqramullah berkata, Gua Pinang diiktiraf sebagai antara gua terbesar di Langkawi dan tertua di Malaysia. Panjang gua tersebut 130 meter dan mempunyai beberapa buah kubah yang tinggi dan dihubungi oleh sistem terowong yang sempit.

Tambahnya, gua tersebut juga menampung himpunan kelawar yang terbesar di Langkawi iaitu sekitar 7,000 hingga 8,000 populasi kelawar serta mempunyai spesies yang unik iaitu kelawar ladam bulat dan cecadu gua.

Iqramullah turut berkata, gua tersebut kaya dengan pelbagai flora unik seperti asam batu, kemuning akar dan pokok gaharu dan fauna seperti burung pekaka emas dan burung enggang. Oleh itu, gua tersebut menjadi destinasi ekopelancongan yang popular. -SM

 

(Visited 348 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button