Politik

UMNO perlu pengorbanan besar, atau bakal jadi parti malang

UMNO perlu melakukan pengorbanan besar iaitu menyingkirkan pemimpin yang bermasalah dan sedang berdepan dengan kes mahkamah.

Langkah itu penting bagi membersihkan parti berkenaan dan mengelak para pemimpin berdepan dengan tuduhan rasuah serta salah guna kuasa mengheret parti bersama-sama dengan mereka ke dalam kemelut.

Memang para pemimpin seperti Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ahmad Zahid mempunyai jasa yang besar kepada negara serta parti, tetapi mereka tidak boleh berterusan mengheret masalah peribadi sebagai masalah parti.

Mereka diberi dan peluang seluasnya untuk membersihkan nama masing-masing, dan pada masa yang sama parti perlu terus ke hadapan untuk berdepan dengan rakyat yang akan memilih kerajaan baharu tidak lama lagi.

Sekarang era pemerintahan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri dan terbukti beliau berjaya membawa negara ini keluar daripada pandemik dengan penuh berhati-hati.

Ismail Sabri berjaya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap kerajaan dengan dasar yang mengutamakan rakyat dan bukan kapitalis.

Terbaharu apabila beliau mengumumkan semua perkhidmatan awam termasuk MRT dan LRT percuma selama sebulan ia disambut baik oleh rakyat.

Ini jelas beliau memahami apa masalah rakyat dan memberi respon dengan dasar yang mudah tetapi menyelesaikan masalah rakyat.

Jadi UMNO kini perlu melakukan pengorbanan besar iaitu mengangkat pemimpin yang terbukti disokong semua pihak sebagai Presiden.

Peristiwa yang sama berlaku apabila Tun Abdullah Ahmad Badawi memenangi pilihan raya dengan majoriti besar selepas dilantik sebagai perdana menteri serta dikenali sebagai Mr. Clean.

Pengorbanan demi pengorbanan inilah menjadikan UMNO terus relevan dan terus didambakan rakyat, hinggalah apabila pemimpinnya berkeras untuk terus memegang kuasa walaupun rakyat telah memberi isyarat sebaliknya.

Jika Najib meletakkan jawatan ketika beliau diasak dengan kes 1MDB, kemungkinan besar UMNO tidak akan kalah pada pilihan raya yang lalu.

Namun dek kerana sikap angkuh, Najib menganggap isu iti sebagai remeh dan dapat menggula-gulakan rakyat dengan penyaluran bantuan tunai.

Ternyata percaturan itu salah dan lihatlah apa yang harus dilalui negara. Kini UMNO melalui satu lagi situasi yang sama menuntut mereka melaksanakan sesuatu yang besar.

Pada masa yang sama para pemimpin bermasalah dan penyokong mereka terus begitu yakin akan menang pilihan raya umum selepas memenangi dua pilihan raya negeri dan beberapa siri pilihan raya kecil.

Memang sejak dahulu UMNO bersama-sama Barisan Nasional (BN) sangat cemerlang bila berdepan pilihan raya kecil. Bagaimanapun formula mereka tidak berhasil apabila pilihan raya umum.

Oleh itu UMNO selaku tonggak BN perlu benar-benar utuh untuk berdepan pilihan raya maha besar ini.

(Visited 377 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button