Sukan

Pemain lima negara sertai Kejohanan Golf Road To Historical Melaka 2023

Kejohanan Golf Road To Historical Melaka 2023 bakal menyaksikan penampilan pemain dari lima negara, Korea, Taiwan, Thailand, Singapura dan Brunei melengkapkan aksi
102 pemain dari 26 hingga 28 November ini.

Dijangka 15 pemain dari luar negara akan bertarung pada kejohanan anjuran Malaysia Flying Golfer Association (MFGA) di dua gelanggang iaitu di Kelab Golf Tiara & Country di Jalan Gapam dan Kelab Golf A’Famosa Resort di Alor Gajah, Melaka.

Zulkifli Mohd. Razali.

Presiden MFGA, Zulkifli Mohd. Razali berkata, pihaknya menyasarkan seramai 112 pemain yang terdiri daripada ahli kelab itu termasuk pemain jemputan walaupun sudah ada 102 pemain yang telah mengesahkan penyertaan mereka setakat ini.

“Ini kali kedua penganjuran pertandingan golf MFGA diadakan di luar Kuala Lumpur kerana pada tahun lalu grand final kita buat di Forest City Golf Resort dan Horizon Hills GCC.

“Tahun lalu kita mendapat penyertaan daripada 20 peserta dari luar negara seperti Singapura, Thailand, Taiwan, Korea dan Vietnam. Cuma tahun ini setakat ini kita ada 15 pemain sahaja.

“Kita menunggu pengesahan sahaja daripada 15 pemain dan mungkin juga bertambah kepada 20 pemain dalam tempoh beberapa hari ini,” ujarnya di sini hari ini.

Zulkifli berkata, MFGA ialah kumpulan rangkaian sosial menerusi golf melibatkan pemain industri pelancongan sejak 1980-an sehingga 22 April 2016 serta menjadi persatuan berdaftar.

Menurutnya, bagi peserta industri pelancongan dari luar negara, MFGA mengharapkan lebih banyak usaha di masa depan bersama melalui rangkaian golf dapat dijalinkan.

Tambahnya, matlamat utama kejohanan itu diadakan adalah untuk mengeratkan hubungan antara pemain industri pelancongan (travel agent), peserta tempatan dan
luar negara selain mempromosikan pelancongan golf dalam negara.

“Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada pemenang termasuk mereka yang melakukan pukulan hole-in-one bakal membawa pulang sebuah motosikal atau tiket
penerbangan ke Jakarta tajaan Leisure Golf atau sebuah pendingin hawa berjenama Acson,” ujarnya.

Katanya, MFGA menetapkan yuran penyertaan untuk dua pusingan sebanyak RM490 (ahli/twin sharing) dan RM690 (ahli/single). Manakala untuk bukan ahli RM650 (twin sharing) dan RM850 (single).

Bagi mereka yang berminat boleh menghubungi En. Aris (+6019-2310118) En. Dzul (+60 16-221 5426) atau En. Fatah (+6013-670 6104). – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button