Nasional

SPRM tidak sensitif aspirasi negara mendaulatkan bahasa kebangsaan

TINDAKAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia melancarkan portal dalam bahasa Mandarin dilihat sebagai tidak sensitif terhadap aspirasi negara untuk mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara.

Pensyarah Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram berkata, beliau tidak nampak rasional disebalik tindakan SPRM melancarkan portal dalam bahasa Mandarin.

Menurutnya, langkah yang diambil oleh SPRM itu akan menyumbang kepada peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang tidak menguasai dan fasih bertutur dalam bahasa Melayu.

“Seharusnya, SPRM berganding bahu dengan kerajaan, pejuang dan pencinta bahasa untuk mendidik masyarakat pelbagai kaum supaya menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan fasih bertutur sebagai tanda cinta akan bahasa negara sendiri.

“SPRM perlu sedar bahawa pelancaran portal SPRM selain bahasa Melayu sedikit sebanyak telah menjejaskan kredibiliti SPRM sebagai satu suruhanjaya yang dipandang tinggi oleh masyarakat,” kata Norazlina.

Jelas Norazlina, alasan SPRM melancarkan portal bahasa Mandarin kononnya bagi memenuhi keperluan masyarakat Cina untuk mendapatkan maklumat mengenai pencegahan rasuah dan perkara berkaitan suruhanjaya itu turut menimbulkan persoalan.

Katanya, mengapa SPRM hanya membuat portal dalam bahasa Mandarin sahaja dan apakah keperluan masyarakat Cina sahaja yang perlu dipenuhi.

“Bagaimanakah keperluan masyarakat lain yang juga rakyat Malaysia? Mengapakah tidak diusahakan juga portal dalam bahasa Tamil dan bahasa kaum etnik utama yang lain?

“Apakah yang menyebabkan sebahagian besar rakyat Malaysia tidak fasih bertutur dalam bahasa Melayu walaupun Malaysia sudah merdeka lebih daripada 63 tahun?

“Adakah SPRM mempunyai semangat patriotik yang tinggi dan berjiwa besar dalam menangani isu bahasa Melayu? Berapa ramaikah warga SPRM yang boleh bertutur dalam bahasa Mandarin?” soal Norazlina.

Norazlina berkata, SPRM seharusnya mematuhi kod etika dan motonya iaitu Amanah, Tegas dan Adil.

Jelasnya moto itu seharusnya dipraktikkan baik secara bertulis mahupun lisan dan perbuatan. Moto tersebut juga boleh dipakai dalam mendaulatkan bahasa kebangsaan.

“Amanah, iaitu SPRM memikul tanggungjawab sebagai warganegara Malaysia dengan memastikan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan kekal utuh selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Malaysia.

“Tegas, iaitu menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyiasatan terhadap semua perlakuan rasuah secara objektif dan tanpa pilih kasih.

“Adil, iaitu bertindak secara saksama tanpa prasangka berat sebelah dalam semua keadaan berteraskan keluhuran undang-undang. Penggunaan bahasa Melayu dalam komunikasi dan perkongsian maklumat dapat memberikan keadilan tanpa prejudis kepada semua pihak,” kata Norazlina.-SM

 

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button