Nasional

2,000 anggota penguat kuasa JPJ digerakkan sempena Tahun Baharu Cina

Sebanyak 2,000 anggota penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terlibat dalam Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023, bermula esok hingga 28 Jan ini di seluruh negara.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sepanjang tempoh operasi, beberapa aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan merangkumi kaedah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres dan pemantauan melalui stesen penguatkuasaan (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya.

Turut dilaksanakan ialah persepsi ditangkap melakukan kesalahan (POBC) secara rondaan di laluan utama jalan persekutuan dan Ops Khas Motosikal yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi berkaitan.

Berucap pada majlis pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Bersempena Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Kebangsaan 2023 bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ di sini hari ini, Loke berkata sepanjang operasi tersebut, JPJ turut menguatkuasakan tujuh kesalahan utama yang tidak dibenarkan kompaun

Ia melibatkan memotong barisan, memotong di garisan berkembar, tidak mematuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, tidak memakai tali pinggang atau topi keledar dan memandu di lorong kecemasan.

Turut dikuatkuasakan ialah Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan di jalan raya iaitu pada dua hari sebelum perayaan iaitu 20 dan 21 Jan serta dua hari selepas perayaan iaitu pada 24 dan 25 Jan, bertujuan mengelak kesesakan lalu lintas ketika sambutan Tahun Baharu Cina.

“Larangan ini juga bertujuan mengelakkan risiko berlaku sebarang nahas jalan raya akibat percampuran dan pertambahan trafik antara kenderaan berat dengan kenderaan ringan di atas jalan raya serta lebuh raya,” katanya.

Mengenai statistik kemalangan sepanjang tempoh operasi sama tahun lepas, Loke berkata sebanyak 11,325 kes kemalangan jalan raya dengan 108 kes kemalangan maut dan 119 kes kematian direkodkan.

“Kadar kematian sebanyak 119 pengguna jalan raya sepanjang Ops ini, tahun lepas merupakan kadar membimbangkan. Bagi hemat saya, kadar literasi keselamatan jalan raya dalam komuniti jalan raya di negara ini masih belum mencapai tahap tertinggi yang boleh dibanggakan,” katanya.

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button