Mahkamah

Padah wheelie atas jalan raya: Bapa anak satu dihukum penjara dan denda

Aksi wheelie di Lebuhraya DUKE

MAHKAMAH Majistret Kuala Lumpur hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam hari dan denda RM6,000 ke atas seorang  bapa anak satu yang melakukan aksi berbahaya menunggang motosikal dengan mengangkat roda hadapan motosikalnya (wheelie).

Majistret Puteri Nursheila Rahimi memerintahkan Muhammad Azamuddin Aman, 27, menjalani hukuman itu bermula hari ini selain lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun dan jika gagal membayar denda, dia boleh dipenjara enam bulan.

BERNAMA melaporkan, Muhammad Azamuddin yang bekerja sebagai pemandu van sekolah didakwa menunggang motosikal secara melulu dan membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain di di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), pada pukul 12.30 tengah malam, 23 Mei lalu.

Pertuduhan terhadapnya adalah di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan  lesen memandu untuk sekurang-kurangnya dua tahun.

Terdahulu, Muhammad Azamuddin yang tidak diwakili peguam berkata, dia menyesal dan memohon hukuman ringan kerana perlu menanggung isteri dan seorang anak.

Pegawai Pendakwa, Inspektor Abdullah Khazali memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Menurut fakta kes, tertuduh ditahan semasa Op Cegah Samseng Jalan Raya yang dijalankan oleh polis di lebuh raya itu.

Di mahkamah sama, seorang penganggur Muhamad Sufyan Othman, 18, diarahkan menjalani  khidmat masyarakat selama 120 jam kerana menunggang motosikal secara melulu di tempat sama pada 12.30 tengah malam, 23 Mei lepas.

Tertuduh juga diarahkan membayar RM2,000 sebagai cagaran dan perlu menyelesaikan khidmat masyarakat  itu selama 12 bulan, selain dilarang memohon lesen memandu baharu selama dua tahun.

Dia didakwa di bawah Seksyen 42(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – SM

(Visited 101 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button