Sukan

Hafizh bergelut dengan prestasi jentera di Valencia

HAFIZH Syahrin Abdullah kecewa lagi, kali ini dia tidak terjatuh dan berjaya melengkapkan perlumbaan, tetapi kedudukan ke-19 tidak meletakkan pelumba Moto2 negara itu untuk menambah koleksi matanya pada perlumbaan Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo, semalam.

Pelumba Inde Aspar Team itu yang menunggang jentera Speed Up mencatat masa 40 minit 44.293 saat (s), ketinggalan 42.068s di belakang juara, Jorge Martin dari pasukan Red Bull KTM Ajo yang melakar masa terpantas 40:02.225s.

Tempat kedua dimenangi oleh pelumba Flexbox HP 40, Hector Garzo (40:02.297s) dan kedudukan ketiga menjadi milik Marco Bezzecchi dari Sky Racing Team (40:02.429s).

Dalam perlumbaan tersebut, Hafizh dan pasukan teknikal bergelut bagi mendapatkan pelarasan motosikal terbaik untuk membolehkannya mempamerkan persembahan yang maksimum.

Anak muda berusia 26 tahun itu berkata, dia dan pasukannya berdepan dengan pelbagai masalah untuk cuba memahami situasi jentera yang serba tidak menjadi.

“Kami terpaksa mengharungi hujung minggu yang sangat sukar kerana kami banyak bergelut untuk berusaha memahami situasi yang sedang kami hadapi.

“Kami memang ada mempamerkan peningkatan, tetapi ia tidak mencukupi,” katanya dalam satu kenyataan kepada media selepas perlumbaan berakhir.

Menurut Hafizh, semasa perlumbaan angin bertiup kencang dan keadaan tersebut telah menyukarkannya ketika berada di selekoh.

“Masalah itu memberi igauan buruk buat saya pada hujung minggu ini. Saya amat bingung, seperti zombi. Apa yang kami cuba usahakan tidak menjadi, kami ada mempamerkan peningkatan pada satu situasi, tetapi selepas itu timbul pula masalah yang lebih buruk.

“Apabila tayar belakang berfungsi dengan baik, tayar bahagian depan pula bermasalah,” ujarnya.

Justeru, Hafizh amat berharap dapat memberikan segala-galanya di Portimao, Portugal pada 22 November ini kerana perlumbaan tersebut merupakan yang terakhir dia bersama Inde Aspar Team. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button