Nasional

Peruntukan RM85.5 juta untuk Jasa terlalu besar – Khaled Nordin

NAIB Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO percaya peruntukan RM85.5 juta yang dikhususkan kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia merupakan jumlah yang berlebihan dan perlu diberikan penjelasan segera.

Khaled berkata: “Kita mengalu-alukan wujudkan semula Jasa tetapi peruntukan sebesar ini memerlukan penjelasan lanjut. Perlu dijelaskan mengapa perlunya peruntukan yang besar.

“Kalau ada justifikasi munasabah, ia okay untuk peruntukan besar. Mungkinkah kerajaan yang lemah memerlukan ‘pembesar suara’ yang lebih besar,” katanya kepada FMT.

Dalam anggaran perbelanjaaan persekutuan bagi tahun 2021 di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia disiarkan yang di laman rasmi Kementerian Kewangan menyebut tentang fungsi Jasa iaitu membangunkan komuniti sehingga ke peringkat akar umbi melalui komunikasi berkesan antara kerajaan dan rakyat.

Peruntukan pertama sebanyak RM4 juta dibuat di bawah belanjawan komunikasi strategi dan peruntukan kedua berjumlah RM81.5 juta diberikan di bawah dasar baru.

Sehingga kini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan timbalannya tidak memberikan sebarang ulasan lanjut berhubung peruntukan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan dilaporkan berkata, kerajaan persekutuan perlu memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai fungsi Jasa dan mengapa ia memerlukan peruntukan yang besar.

“Saya juga persoalkan perkara sama. Saya tidak lihat lagi penjelasan mengapa ia memerlukan peruntukan yang besar. Kerajaan dan kementerian perlu berikan penjelasan.

“Dari segi Jasa sendiri, jika ia masih digunakan untuk tujuan propaganda bagi mana-mana parti atau kerajaan, saya tidak akan bersetuju.

“Tetapi jika ia memainkan peranan, terutamanya di kawasan luar bandar seperti Jabatan Penerangan, maka saya rasa ia okay.

“Tetapi jumlah peruntukan lebih RM80 juta itu bunyinya terlalu besar buat saya,” katanya.

Ketua Penerangan Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Wan Agyl Wan Hassan berkata, beliau terkejut dengan keputusan Putrajaya memberikan peruntukan besar kepada jabatan berkenaan, melebihi peruntukan diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Sekiranya pembentukan semula Jasa dengan objektif memberi peluang pekerjaan, saya yakin bukan sahaja ahli Dewan Rakyat, malah semua rakyat Malaysia mahukan maklumat lebih terperinci dan justifikasi berhubung keputusan itu.

“Ini perlu didebatkan di Dewan Rakyat. Keutamaan kita seharusnya memerangi dan menyelesaikan permasalahan kesan daripada serangan wabak Covid-19. Persoalannya kini, apakah sebenarnya visi dan matlamat peruntukan untuk jabatan itu,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM85.5 juta kepada Jasa kurang jelas matlamatnya, selain dilihat tidak memenuhi keperluan dalam menyelesaikan masalah rakyat yang disebabkan wabak Covid-19.

Jasa dibubarkan pada Mei 2018 selepas Pakatan Harapan (PH) melancarkan kempen berjimat berikutan kemenangannya dalam pilihan raya umum sebelum itu.

Kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum itu memperuntukkan RM30 juta kepada Jasa dalam Belanjawan 2018. – BERNAMA – SM

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button