Ekonomi

Public Bank catat untung bersih RM6.65 bilion,isytihar dividen interim 10 Sen

Untuk tahun kewangan 2023, Kumpulan Public Bank mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM8.54 bilion dan keuntungan bersih milik pemegang saham sebanyak RM6.65 bilion.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr. Tay Ah Lek berkata, “Prestasi keuntungan Kumpulan Public Bank yang stabil untuk tahun 2023 sebahagian besarnya disumbangkan oleh pertumbuhan
pinjaman dan deposit yang berterusan, berserta peningkatan dalam pendapatan bukan faedah dan peruntukan pengurangan nilai pinjaman yang rendah.

“Keuntungan bersih Kumpulan meningkat sebanyak 8.7% pada tahun 2023. Prestasi yang kukuh ini turut ditunjukkan dalam pulangan ekuiti bersih Kumpulan sebanyak 13.0%.”

Kumpulan Public Bank mencatatkan pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik masing-masing sebanyak 5.9% dan 4.6% pada tahun 2023. Kumpulan mencatat purata margin faedah bersih sebanyak 2.20% pada tahun itu, yang menyumbang kepada pendapatan faedah dan pembiayaan bersih sebanyak RM10.53 bilion.

Pendapatan bukan faedah meningkat sebanyak 2.6%, disebabkan oleh pendapatan lebih tinggi daripada perniagaan unit amanah dan perniagaan pembrokeran saham Kumpulan.

Berikutan perbelanjaan operasi yang diuruskan dengan berhemah, nisbah kos kepada pendapatan Kumpulan Public Bank berada pada 33.7%, jauh lebih baik berbanding dengan nisbah kos kepada pendapatan industri perbankan sebanyak 48.3%.

Nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar kekal rendah pada 0.59%, menunjukkan profil risiko portfolio pinjaman Kumpulan Public Bank yang berdaya tahan.

Berikutan peruntukan awalan yang mencukupi sejak pandemik, peruntukan kerugian  pinjaman adalah lebih rendah sebanyak 57.1% berbanding dengan tahun 2022, dengan nisbah perlindungan kerugian pinjaman kekal pada tahap berhemat sebanyak 181.8% pada akhir tahun 2023.

Tay menegaskan, “Berikutan prestasi yang baik pada tahun 2023, Lembaga Pengarah Public Bank  mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 10.0 sen sesaham, menjadikan jumlah dividennya sebanyak 19.0 sen sesaham bagi  tahun kewangan 2023.

“Ini merupakan jumlah bayaran dividen sebanyak RM3.69 bilion iaitu 55.5% daripada keuntungan bersih Kumpulan Public Bank bagi tahun 2023. Dividen akan dibayar pada 22 Mac 2024, berdasarkan tarikh kelayakan
dividen pada 14 Mac 2024.” – SM

(Visited 19 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button