Rencana

Kopi kurangkan risiko parkinson

SINGAPURA: Ini tentu berita yang menggembirakan mereka yang gemar meminum kopi dan teh, lebih-lebih lagi mereka yang terdedah secara genetik terhadap risiko menghidap penyakit Parkinson (PD). 

Satu kajian baharu Institut Neurosains Kebagsaan Singapura (NNI) mendapati dua cawan kopi (kopi tempatan tradisional yang diperbuat daripada biji kopi robusta) sehari boleh mengurangkan risiko PD sebanyak empat hingga lapan kali ganda dalam kalangan mereka yang mempunyai varian gen Asia yang dikaitkan dengan penyakit tersebut. 

Bahan kafein diketahui mempunyai potensi kesan perlindungan terhadap PD dan penyakit  neurodegeneratif lain, tegas penyiasat utama kajian NNI Profesor Tan Eng King, yang merupakan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Ehwal Akademik) dan Konsultan Kanan Jabatan Neurologi NNI.

“Kajian kami menunjukkan bahawa ia boleh mengurangkan risiko PD dengan ketara dan mengurangkan risiko ke atas orang Asia yang secara baka berisiko lebih tinggi menghidap PD jika mereka  bebas daripada sebarang simptom,” kata Prof Tan.Lebih 8,000 penduduk Singapura kini hidup dengan PD, yang merupakan penyakit neurodegeneratif yang paling pesat berkembang di seluruh dunia.

BAGAIMANA KAFEIN MUNGKIN MEMBANTU

Menurut Prof Tan, kafein diketahui dapat mengurangkan keradangan neuron di otak, dan ini bantu mengurangkan kematian sel. 

Beliau berkata demikian di Simposium Penyakit Parkinson dan Gangguan Pergerakan Antarabangsa  ke-10 baru-baru ini. Namun, masih belum diketahui bagaimana kafein berinteraksi dengan varian gen PD Asia.

Apa yang diketahui adalah individu dengan varian genetik Asia mempunyai risiko 1.5 hingga dua kali ganda lebih tinggi untuk menghidap PD. Terdapat dua varian gen Asia yang diketahui paling kerap ditemui di Asia Timur. Sehingga 10 peratus daripada populasi Singapura mempunyai salah satu daripada varian gen ini.

Satu kajian NNI yang berasingan menunjukkan bahawa 26 peratus penduduk tua Singapura menunjukkan tanda-tanda ringan penyakit Parkinson. PD adalah gangguan otak yang menyebabkan pergerakan tidak terkawal, seperti terketar-ketar, kekakuan dan kesukaran dengan keseimbangan dan koordinasi.

APA YANG TERLIBAT DALAM KAJIAN

Kajian itu melibatkan 4,488 peserta yang melengkapkan soal selidik mengenai pengambilan kafein mereka setiap hari. Daripada jumlah itu, 1,790 menghidap PD, 2,698 bebas PD dan kesemuanya mempunyai salah satu daripada dua varian genetik Asia yang dikaitkan dengan PD.

Menurut kajian itu, purata pengambilan kafein adalah kira-kira 448mg di kalangan peserta dengan PD dan 473mg di kalangan mereka yang tidak mempunyai PD. Pengambilan kafein mereka adalah bersamaan dengan empat hingga lima cawan kopi arabika bancuhan gaya Barat (235ml atau 8 fl oz setiap cawan) atau dua cawan kopi yang diperbuat daripada biji kopi robusta, yang mempunyai kandungan kafein yang lebih tinggi daripada biji kopi arabika.

Faedah perlindungan daripada PD meningkat dengan pengambilan kafein yang lebih tinggi. Namun mereka yang minum kurang daripada 200mg kafein sehari masih dapat mengurangkan risiko PD. Mengambil 400mg kafein sehari secara umumnya dianggap selamat untuk kebanyakan orang dewasa yang sihat.

Minum kopi atau teh dengan susu, gula, madu atau bahan tambahan lain tidak menjejaskan kesan kafein dalam melindungi daripada PD, menurut kajian itu.

“Penyelidikan ini mempunyai implikasi penting untuk pencegahan PD, terutamanya di negara-negara seperti Singapura, di mana varian gen Asia adalah perkara biasa,” kata Prof Tan.

“Teh dan kopi mudah didapati dan diterima sebagai  budaya minuman dalam kebanyakan masyarakat Asia dan pengambilan kafein dalam had biasa menawarkan cara yang mudah, menyenangkan lagi menggalakkan bergaul untuk orang ramai mengurangkan potensi mereka menghidap menghidapi PD.” Lapor Channel News Asia

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button