Politik

Dalam realisitik, perlu ada sikap pragmatik

CALON Naib Presiden PKR, Fahmi Fadzil berkata, tidak ada ruang untuk parti itu atau Pakatan Harapan (PH) menyerah begitu sahaja dalam Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15) akan datang.

Secara peribadi, beliau percaya dalam bersikap realistik perlu pragmatik atau bersifat praktikal dan kemenangan tidak datang begitu sahaja dan kekalahan juga tidak akan berlaku begitu sahaja.

“Kita menang atau kalah memang resepinya adalah perancangan, usaha dan ikhtiar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas gesaan bekas Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli agar gabungan itu bersikap realistik berhubung peluangnya dalam PRU15.

Dalam kenyataan baru-baru ini, Rafizi berkata, adalah lebih baik bagi PKR dan PH berpuas hati untuk kekal sebagai “pembangkang yang bermaruah” berbanding menghebohkan keyakinan untuk menang dalam pilihan raya yang dijangka semakin hampir.

Menolak pandangan Rafizi itu, Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PKR yakin PH mampu menawan semula Putrajaya namun ia bergantung kepada strategi dan ikhtiar gabungan itu untuk melangkah ke depan.

“Saya lihat ada satu keadaan, kita mungkin boleh menang (menawan semula Putrajaya) namun jumlahnya (kerusi Parlimen) bergantung kepada apakah usaha, ikhtiar dan strategi kita ke depan,” katanya.

Pada pemilihan lalu, Rafizi tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi merebut jawatan nombor dua dalam parti.

Beliau kemudian dilantik sebagai Naib Presiden dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi sesi 2018-2021.

Bagaimanapun Rafizi mengumumkan bersara daripada politik pada Disember 2019 kerana mahu memberi tumpuan kepada perniagaan berkaitan teknologi.

Beliau kembali aktif dalam arena politik akhir-akhir ini selepas akar umbi mendesaknya membantu persiapan PKR untuk menghadapi PRU15.

Semalam, beliau mengesahkan akan mencabar Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution bagi merebut jawatan nombor dua parti dalam pemilihan bagi penggal 2022-2025 pada Mei ini. – SM

(Visited 267 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button