NasionalNegeri

Empangan Air Itam mampu bertahan 40 hari

EKORAN cuaca panas berpanjangan selain taburan hujan yang sangat sedikit, simpanan air di Empangan Air Itam, Pulau Pinang dijangka hanya mampu bertahan 40 hari sahaja.

Itu kata Exco Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Beliau berkata, jika hujan tidak mencukupi di kawasan tadahan itu atau tiada hujan langsung, empangan tersebut dijangka kehabisan sumber air menjelang Jun ini.

Katanya lagi, penurunan ketara kapasiti air di Empangan Air Itam itu disebabkan kekurangan taburan hujan di kawasan berkenaan dan penggunaan air yang tinggi iaitu di kawasan pasar dan medan selera di kawasan situ.

“Kita bimbang jika pengguna tidak menjimatkan penggunaan air sekarang, mereka akan menghadapi masalah air yang kritikal,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Empangan Air Itam membekalkan air kepada pengguna di bandar Air Itam, Paya Terubong dan kawasan sekitar membabitkan 30,000 orang dengan 6,000 akaun.

Setakat 7 Mei lalu, Empangan Air Itam merekodkan kapasiti pada paras 41.5% manakala empangan Teluk Bahang pada paras 48.4%.

Zairil berkata, Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjalankan tindakan kejuruteraan iaitu mengurangkan jumlah pengeluaran dan penyaluran air dari Empangan Air Itam kepada pengguna.

Selain itu, terdapat pengguna di kawasan Air Itam yang menggunakan air dari Lori Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

“Sekiranya langkah ini tidak diambil mungkin air di Empangan Air Itam akan habis dalam tempoh 10 hari, sekarang dengan langkah ini ia dapat bertahan selama 40 hari lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Zairil berkata, Empangan Teluk Bahang yang membekalkan air kepada 500,000 pengguna di sekitar daerah Barat Daya dan Timur Laut juga mengalami penurunan kapasiti efektif yang ketara dan mampu bertahan kira-kira 146 hari sahaja lagi tanpa hujan.

“Operasi pembenihan awan dijalankan di kawasan tadahan air ini, namun ia mesti dijalankan secara berterusan bagi memastikan taburan hujan yang optimum untuk memenuhi empangan.

“Selain itu, orang ramai juga diminta menjimatkan air bagi memastikan tidak berlaku krisis air yang kritikal pada masa depan,” katanya. – SM

BACA Polis siap sedia, air empangan Klang Gate dilepas secara berperingkat

BACA Paras empangan Bukit Merah kritikal akibat kemarau

 

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button