Sukan

MFL disaran ‘korban’ pertandingan Piala FA

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) disarankan untuk ‘mengorbankan’ saingan Piala FA, bagi memastikan kejohanan Piala Malaysia dapat dijalankan pada musim ini.

Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan Datuk K. Rajagobal, melahirkan kebimbangan saingan Liga Super dan Liga Premier akan melangkaui jadual asal, sekali gus memberi impak kepada penganjuran Piala Malaysia yang dijadual bermula Ogos depan.

Berdasarkan jadual asal MFL, saingan Liga Super dan Liga Premier yang bermula pada 29 Feb lalu, dijangka berakhir pada pertengahan Julai, manakala saingan Piala Malaysia dijadualkan berlangsung pada awal Ogos nanti.

“Mungkin MFL boleh korbankan Piala FA untuk Piala Malaysia, kerana bagi saya Piala Malaysia ada nilai sejarah dan tradisi tersendiri. Debaran perlawanan akhir Piala Malaysia sentiasa memuncak setiap tahun, dan keghairahan penyokong terhadap pertandingan ini, tidak boleh dinafikan.

“Tetapi Piala FA juga pertandingan yang menyeronokkan, saya percaya MFL dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia), pasti jumpa cara terbaik mendepani perkara ini. Keutamaan sekarang adalah semua pihak perlu memberikan kerjasama dalam menghadapi Covid-19,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

Jurulatih berpengalaman berusia 53 tahun itu berpendapat, sekiranya MFL berhasrat meneruskan kesemua pertandingan di bawah kelolaan mereka, beliau mencadangkan supaya format saingan Piala FA diubah iaitu, satu perlawanan sahaja, bermula peringkat suku akhir berbanding aksi timbal balik.

Rajagobal menjelaskan langkah berkenaan bukan sahaja mengurangkan jumlah perlawanan, malahan memendekkan tempoh perjalanan pertandingan, sekali gus memberi peluang kepada MFL untuk menganjurkan Piala Malaysia.

Sementara itu, sumber terdekat MFL yang dihubungi Bernama mengesahkan, tiada sebarang keputusan dibuat mengenai pembatalan mana-mana pertandingan di bawah kelolaan badan pentadbir Liga-M itu, dan segala keputusan hanya akan diputuskan pada mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah, dalam tempoh terdekat.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif MFL Datuk Ab Ghani Hassan dilaporkan, memberi bayangan bahawa saingan Piala Malaysia akan ditunda, susulan penularan Covid-19.

MFL dan FAM memutuskan untuk menunda kesemua perlawanan Liga-M berkuatkuasa 16 Mac lalu, susulan penularan pandemik Covid-19. – BERNAMA

(Visited 349 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button