Nasionalpilihan

PERKESO dan UNIMAS jalin kerjasama tawar khidmat rehabilitasi dan pekerjaan di Sarawak

PERTUBUHAN Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini memeterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) bagi membuka laluan kepada pelbagai kolaborasi strategik antara kedua-dua pihak.

Kerjasama menerusi MoU ini akan menyokong usaha PERKESO dan UNIMAS bagi menyedia dan memanjangkan program serta kemudahan rehabilitasi di Bumi Kenyalang menerusi penyediaan kemudahan tersebut di Hospital Pengajar UNIMAS. Inisiatif murni ini diharapkan dapat memberi manfaat kepada masyarakat setempat terutamanya para pencarum PERKESO untuk mendapatkan rawatan rehabilitasi di kampus UNIMAS.

Selain itu, pemeteraian MoU ini juga akan merintis kolaborasi dua hala dalam aspek penyelidikan dan pembelajaran, bertujuan bagi meningkatkan kemahiran serta pengetahuan anggota dalam bidang-bidang seperti perubatan, rehabilitasi, intervensi neurologi, kesihatan mental, kemahiran kesihatan bersekutu, robotik, latihan vokasional, keselamatan dan kesihatan, pengurusan hilang upaya, program Return To Work (RTW), dan program perkhidmatan pekerjaan.

Pemeteraian MoU tersebut telah direalisasikan dalam satu majlis yang telah diadakan di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra, UNIMAS, di mana PERKESO telah diwakili oleh Ketua Eksekutifnya, Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman Dato’ Aziz Mohammed, manakala UNIMAS pula diwakili oleh Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, Naib Canselor UNIMAS.

Kerjasama tersebut telah disaksikan oleh Datuk Dr. Hafez Hussain, Pengarah Eksekutif Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak dan Prof. Madya Dr. Ehfa Bujang Safawi, Pengarah Hospital Pengajar dan Pusat Perubatan UNIMAS.

Menerusi kolaborasi ini juga, PERKESO berhasrat untuk membuka sebuah Pusat Satelit MYFutureJobs di kampus UNIMAS agar para siswazah dan graduan di univesiti tersebut dapat memperoleh manfaat menerusi program dan aktiviti perkhidmatan pekerjaan  PERKESO.

Sehingga 22 Julai 2022, Portal Pekerjaan Negara, MYFutureJobs menawarkan lebih 290,000 jawatan kosong aktif di seluruh negara, di mana 20,362 daripadanya adalah di negeri Sarawak. Menerusi perkhidmatan pekerjaan MYFutureJobs dan pelaksanaan pelbagai aktiviti program pasaran buruh aktif oleh PERKESO, seramai 549,112 individu telah berjaya mendapat pekerjaan di seluruh Malaysia, termasuk 21,352  anak jati Sarawak.

Dato’ Sri Dr. Mohammed Azman berkata, “Kerjasama yang dipateri melalui MoU dengan pihak UNIMAS ini mencerminkan keprihatinan kedua belah pihak terhadap kebajikan golongan pekerja. Saya percaya, pemilihan UNIMAS sebagai rakan strategik PERKESO adalah satu langkah yang tepat dan selari dengan objektif ‘no Malaysian is left behind’ dalam perlindungan keselamatan sosial, di mana perkhidmatan rehabilitasi yang disediakan merentasi kepelbagaian etnik dalam masyarakat di Sarawak.”

“Kerjasama ini juga bertepatan dengan peranan PERKESO dalam menyediakan perkhidmatan rehabilitasi secara holistik untuk memberi sinar baharu dan kehidupan yang lebih baik buat pekerja yang cedera atau menghidap penyakit, menerusi pengurusan hilang upaya yang komprehensif dan dinamik,” tambah beliau dalam ucapannya.

Menurut Naib Canselor UNIMAS, Prof. Datuk Dr. Mohamad Kadim Suaidi, dengan kerjasama ini pencarum PERKESO berpeluang menjalani rawatan rehabilitasi di Pusat Rehabilitasi UNIMAS dengan selesa, selain lokasinya berhampiran dengan Kuching dan Serian. Kerjasama ini juga dilihat saling melengkapi kekuatan yang ada pada kedua-dua pihak, mendatangkan manfaat dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan mampan negara.

Dengan kerjasama rakan strategik seumpama ini, PERKESO dan UNIMAS dapat memperluaskan lagi penyampaian perkhidmatannya menerusi bidang kepakaran masing-masing demi kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia. – SM

Artikel berkaitan > PERKESO dan Flex berganding bahu buka peluang pekerjaan kepada OKU

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button