Analisis

Aura Annuar Musa dalam Pas

SELEPAS Tan Sri Annuar Musa secara rasmi masuk Pas, tiba-tiba sahaja ramai yang mengikut jejak beliau.

Ada dalam kalangan pemimpin Umno, ahli Umno dan mereka yang tidak berparti.

Kenapa dengan Annuar? Tentulah ia berkaitan dimensi baharu yang bakal dibawa Annuar kepada Pas dan negara ini.

Annuar berlatarbelakang seorang perancang bandar telah membuktikan keberkesanan beliau semasa berada di dalam kabinet dan juga memegang jawatan besar semasa bersama Umno.

Kemasukan Annuar menarik minat massa yang lebih besar untuk bersama-sama meneruskan perjuangan memelihara negara ini daripada anasir subversif dan memastikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang moderate.

Daripada perkongsian pandangan dengan Annuar saya cuba tafsirkan buah fikiran beliau daripada perspektif saya.

Pertama sekali Pas perlu menawarkan nilai-nilai di dalam Islam kepada yang bukan Islam.

Bermakna selepas berapa pusingan kerajaan bersilih ganti, negara ini terus berdepan dengan kemelut dan kini masanya Pas untuk mengambil giliran memegang tampuk kepimpinan negara dan Islam merupakan satu cara hidup yang menjanjikan keadilan bagi semua pihak.

Hak asasi manusia juga diajar dalam Islam, begitu juga keadilan. Dan hal ini perlu diperjelaskan kepada yang bukan Islam. Bukan memaksa mereka menerima ajaran Islam tetapi membuktikan sebuah negara Islam tiada sesiapa yang akan ditindas dalam semua segi. Ekonomi, politik dan sosial.

Negeri-negeri yang diperintah Pas sendiri perlu membuktikan mampu menjadi negeri paling harmoni, bersih dan maju.

Ini akan menarik minat lebih lagi kepada Islam. Lihat sahaja bagaimana Qatar ketika menjadi tuan rumah Piala Dunia. Ia berjaya mengubah persepsi dunia tentang Islam.

Pengalaman begitu lama di dalam kabinet boleh membantu Annuar melaksanakan perubahan tersebut. Apabila perubahan itu berlaku ia secara automatik membawa aura positif terhadap Pas dan Islam.

Jadi Pas dan para pemimpinnya perlu berani tampil ke hadapan dan terus mencipta kejayaan supaya menjadi inspirasi kepada semua.

Rakyat sudah letih dengan retorik politik yang tidak ke mana. Sedangkan ekonomi negara semakin lembab dan ramai mula kehilangan pekerjaan.

Justeru para wakil rakyat perlu bertanyakan diri masing-masing apakah peranan mereka sudah cukup signifikan atau hanya menjadi badut di dalam parlimen.

Atau lebih sesuai menjadi pelawak atau penjual ubat di pasar malam daripada menguruskan sebuah negara.

Oleh itu pilihan raya di enam buah negeri akan menjadi referundum rakyat terhadap kerajaan dewasa ini dan masa hadapan.

(Visited 409 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button