Politik

UMNO tidak perlu menari ikut rentak Anwar

UMNO tidak perlu menari mengikut rentak Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai kerjasama parti itu dengan UMNO.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Sufian Hamdan berkata, apa yang perlu dilakukan oleh UMNO adalah  memberi tumpuan sepenuhnya terhadap pengukuhan parti.

“Jika Anwar Ibrahim masih mahu mencanang kononnya ada rundingan dan kerjasama rasmi politik dengan UMNO, itu adalah hak beliau untuk bercakap seperti mana selama ini beliau tak henti-henti mengatakan bahawa beliau ada majoriti di Parlimen.

“Kita tidak perlu menari mengikut rentak orang lain sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada pengukuhan dalaman parti sendiri, disamping berusaha keras memenangi keyakinan rakyat,” kata Shahril Sufian.

Anwar menjemput media untuk hadir pada sidang akhbar yang dijadualkan pada pukul 4.30 petang hari ini.

Sebuah portal melaporkan, Anwar dijangka akan menyentuh isu kemungkinan PKR bekerjasama dengan UMNO dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Shahril Sufian berkata, keputusan dasar Persidangan Agung UMNO 2019 masih terpakai dan kenyataan semua pemimpin tertinggi UMNO berkali-kali menyebut tidak timbul kerjasama dengan PKR dan DAP.

Hakikatnya, menurut beliau, Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga belum pernah mengubah keputusan dasar PAU 2019 yang menolak kerjasama dengan PKR dan DAP.

Tambahnya, menolak kerjasama dengan PPBM tidak bermaksud untuk terus bersama dengan orang lain.

“Matlamat parti tentunya untuk memenangi sokongan rakyat dengan tawaran dan visi yang lebih baik dari pesaing kita.

“Tanpa sokongan rakyat, UMNO tidak akan mampu beroleh kedudukan dominan sepertimana diharapkan seluruh pejuang parti yang berpegang teguh kepada sejarah dan potensi UMNO untuk terus mendepani perjuangan agama, bangsa dan tanahair,” kata Shahril Sufian.

Dalam wawancara bersama Utusan Malaysia baru-baru ini, Anwar berkata bahawa kerjasama itu tidak lebih daripada sekadar untuk menyelamatkan negara daripada kebobrokan.

Dia menekankan bahawa dalam beberapa siri perbincangan tidak rasmi yang diadakan antara kedua-dua pihak menunjukkan perkembangan “positif” dan kedua-duanya berjaya mencapai persefahaman.

“Saya telah bersama Umno selama bertahun-tahun, mengapa? Kerana saya yakin dengan idealisme. Jadi jika kita meletakkan idealisme ini di landasan, saya rasa tidak akan ada masalah,” katanya dalam wawancara tersebut.-SM

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button