Nasional

Lima saintis muda wakil Malaysia ke mesyuarat Nobel Laureate ke-72

LIMA saintis muda negara diberi pengiktirafan mewakili Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 di  Lindau, Jerman yang berlangsung pada 25 hingga 30 Jun 2023.

Mereka adalah dalam kalangan 635 saintis muda terpilih seluruh dunia akan berinteraksi secara langsung dengan sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel dalam mesyuarat kali ini yang didedikasikan bagi bidang Fisiologi/Perubatan.

Lima saintis muda berkenaan adalah Dr. Liyana Azmi, 34, (Universiti Sains Islam Malaysia), Dr. Norhasmira Mohammad, 33, (Universiti Teknologi MARA), Dr. Wong Yin How, 35, (TaylorsUniversity), Dr. Afifah Mohamed, 33 dan Dr Wong Sok Kuan, 34 (Universiti Kebangsaan Malaysia).

Malaysia menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 84 saintis muda termasuk peserta tahun ini untuk mengambil bahagian dalam Mesyuarat Nobel Laureate sejak tahun 2004.

“MOSTI menekankan keperluan untuk memberikan peluang kepada para saintis muda Malaysia untuk turut serta dalam program-program bertaraf global, seperti Mesyuarat Nobel Laureate.

“Melalui perkongsian perspektif baharu serta idea-idea yang inovatif, saintis-saintis muda ini menjadi aset berharga bagi komuniti saintifik. Langkah ini adalah penting untuk memastikan bahawa generasi baharu saintis dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang relevan bagi menghadapi cabaran masa depan,” demikian kata Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

Presiden ASM merangkap Penasihat Sains, Teknologi dan Inovasi kepada Perdana Menteri dan Negara, Datuk Dr. Tengku Mohd Azzman Shariffadeen pula berkata: “Penyertaan Malaysia dalam Mesyuarat Nobel Laureate ini merupakan salah satu usaha ASM menerusi kolaborasi antarabangsa dalam memperkasa saintis-saintis muda bagi menyediakan mereka peluang untuk bekerjasama dengan saintis-saintis terkemuka di seluruh dunia.

“Ini juga memberikan mereka pendedahan yang amat berharga dengan antaranya dapat memperluas rangkaian, berkongsi idea, pengetahuan dan penyelidikan. Program ini diharap mampu memberi inspirasi serta motivasi kepada mereka untuk memajukan sains dan teknologi sekali gus memberikan impak positif kepada masyarakat.”

ASM membuka pencalonan bagi Mesyuarat Nobel Laureate ke-72 kepada semua saintis muda IPTA dan IPTS seluruh negara pada 21 September hingga 7 Oktober 2022.

Saringan awal dilakukan ASM dan seterusnya diputuskan ahli jawatankuasa Mesyuarat Nobel Laureate untuk
pemilihan akhir. Pencalonan ini dibuka setiap tahun mengikut bidang sains yang ditetapkan.

Sekretariat mesyuarat berkenaan memaklumkan bahawa terdapat sekurang-kurangnya 40 Pemenang Anugerah Nobel akan menyertai program ini dengan membentangkan penyelidikan serta berkongsi pengalaman mereka bersama semua saintis-saintis muda yang hadir.

Selain itu, saintis-saintis muda berkenaan akan menyertai sesi antaranya syarahan, perbincangan terbuka serta peluang untuk bertemu Pemenang Anugerah Nobel secara santai menerusi ‘Laureate Lunch’. – SM

(Visited 107 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button