Politik

Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkuasa pecat ahli

KETUA Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, Majlis Kerja Tertinggi UMNO (MKT) mempunyai peruntukan kuasa di bawah Fasal 20.9 (d) bagi memecat mana mana ahli yang melakukan salahlaku seperti melanggar Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli.

Setiap daripada ahli, kata beliau, hendaklah patuh kepada Perlembagaan Parti dan Tataetika Ahli UMNO , seperti yang diperuntukkan di bawah Fasal 20.8 Perlembagaan.

“Disiplin ini termasuklah patuh kepada Perlembagaan dan Tataetika Ahli, mengikut perintah parti, menjalankan dasar-dasar parti, patuh dan menghormati keputusan parti, menjaga rahsia parti, memelihara nama baik dan maruah parti serta sentiasa menunjukkan tatalaku yang sopan lagi tertib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Datuk Lokman Noor Adam mempertikai kuasa Majlis Kerja Tertinggi yang telah memecatnya dari UMNO.

Katanya, di bawah Perkara 11 Tataetika Ahli pula, ahli ahli boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal 20.9 Perlembagaan jika didapati melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.3 Tataetika Ahli iaitu menerbit, menyiar atau menulis apa apa risalah atau lain lain karya secara langsung atau tidak langsung yang mempunyai unsur unsur menyokong, memfitnah, mencela, mengkeji atau mengandungi kenyataan palsu terhadap mana mana ahli parti yang disiarkan melalui media massa, elektronik atau internet dengan tujuan mengelirukan seseorang berkenaan ahli yang lain.

Selain itu, jelas beliau, mereka juga boleh dikenakan hukuman di bawah Fasal yang sama sekiranya melakukan Salah Laku di bawah Perkara 5.4, iaitu membuat kenyataan tentang seorang ahli yang lain yang boleh merendahkan reputasinya dalam masyarakat atau menyebabkan masyarakat menghindari atau mengelaknya.

“Tindakan memecat ahli ahli yang engkar bukanlah perkara baru kerana ia pernah dilaksanakan pada masa lalu , iaitu dalam kes pemecatan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan ramai lagi.

“Proses dan amalan biasa dalam UMNO. Apabila Lembaga Disiplin UMNO membuat keputusan, ianya dibawa ke Jawatankuasa Pengurusan UMNO dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia untuk dibuat keputusan. Malah dengan kuasa yang ada Majlis Kerja Tertinggi UMNO juga berkuasa dan dibenarkan oleh perlembagaan UMNO untuk membuat apa apa keputusan tanpa dibawa ke Lembaga Disiplin UMNO .

“Apa yang penting semua ahli punyai hak dalam UMNO. Namun apa juga perkara ia juga tertakluk kepada Perlembagaan UMNO, yang dibentuk dalam Perhimpunan Agung UMNO Malaysia.

“Perkara yang penting Presiden UMNO Malaysia secara peribadi tiada kuasa memecat atau mengambil tindakan terhadap mana mana ahli UMNO,” katanya.

Lokman sebelum ini menyerang kepimpinan UMNO khususnya Presiden Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang dikatakan mahu menjalinkan kerja sama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi membentuk Pakatan Nasional yang akan membentuk kerajaan baharu mengikut pintu belakang.

(Visited 322 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button