Nasional

Cadang Individu Daripada Parti Lain, Keputusan Awal ‘Abah’ Sangat Mengejutkan!

Pencalonan Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri bukan sahaja kehendak UMNO malah ‘direstui’ Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perkara itu didedahkan seorang penasihat kanan Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad apabila hasrat itu dinyatakan beliau sendiri sehari selepas mengambil keputusan melepaskan jawatan, iaitu ketika saat berdepan krisis kehilangan kepercayaan ahli Dewan Rakyat terhadap kedudukannya sebagai Perdana Menteri.

Menurut Marzuki yang juga Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri, Muhyiddin menzahirkan pandangan berkenaan kerana sekiranya Ismail Sabri tidak mendapat sokongan, maka tiada pihak memperoleh sokongan majoriti sekali gus meletakkan negara dalam krisis politik berpanjangan berkemungkinan berlarutan sehingga seminggu atau sebulan.

“Sehari sebelum peletakan jawatan, saya ke kediaman beliau (Muhyiddin) untuk beberapa urusan fail. Ketika itu beliau sedang sarapan pagi bersama Puan Sri, saya kemudian diajak bersama. Selepas itu, beliau memberitahu kepada saya bahawa ramai pihak menghantar mesej meminta agarnya tidak meletak jawatan.

“Kemudian beliau berkata: ‘Saya telah hilang majoriti, adalah perlu kekal?’ Saya jawab ‘Yes Sir, kena letak jawatan kerana Perlembagaan menyebut perlu berbuat demikian jika hilang kepercayaan. Ini perkara terbaik perlu dilakukan.

“Beliau selepas itu beralih kepada perbincangan lain: ‘Siapa akan ganti saya sebagai Perdana Menteri. PN kena ada calon’. Dengan nada sama, beliau berkata ‘Saya tiada masalah jika Ismail Sabri dinamakan sebagai calon Perdana Menteri,” kongsi Marzuki dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Marzuki yang terkejut dengan hasrat Muhyiddin itu kerana mencadangkan seorang nama daripada parti yang menolak kepemimpinannya sebagai Perdana Menteri.

Namun ujarnya, Muhyiddin memberi kesimpulan mudah jika Ismail Sabri tidak mendapat sokongan, tiada ahli Parlimen meraih majoriti sekali gus meletakkan negara dalam krisis politik berpanjangan.

“Beliau kemudian tanya kepada saya: ‘Apakah ia berperlembagaan?’, saya jawab “Yes sir, ia mengikut Perlembagaan’. Selepas itu beliau minta saya menghubungi Ismail Sabri untuk berjumpa dengannya pada pukul 11 pagi.

“Sekali lagi beliau bertanyakan adakah ia mengikut perlembagaan. Saya jawab ‘Yes Sir’ dan beliau berkata akan membincangkan perkara itu bersama ahli-ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang berlangsung pukul 9 pagi,” katanya.

Marzuki menyifatkan perbincangan bersama Muhyiddin itu sebagai ‘keagungan berpolitik’ dan berhasrat merakamkan dalam memoir peribadi pada satu hari nanti. – UTUSAN ONLINE

(Visited 341 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button