Nasional

Misi bantuan Malaysia ke Turkiye membanggakan – Anwar

Misi bantuan Malaysia ke Turkiye yang menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) serta pasukan perubatan telah memperoleh hasil yang cemerlang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH – Tambun) memberitahu Dewan Rakyat sesi pagi tadi bahawa dalam lawatan beliau meninjau operasi pasukan Malaysia di Nurdagi, Gaziantep mendapati pasukan SAR yang dihantar melakukan tugas luar biasa dalam kondisi cuaca dan persekitaran ekstrem.

“Saya telah bertemu dengan pasukan SAR Malaysia pada 15 Februari 2023 di Nurdagi, Gaziantep, salah satu kawasan yang paling terjejas teruk akibat kejadian gempa bumi di Turkiye baru-baru ini.

“Pasukan ini terdiri daripada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia, Agensi Pengurusan Bencana Negara (SMART, NADMA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Kor Kesihatan DiRaja Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Antara NGO-NGO yang terlibat di bawah misi ini ialah MERCY Malaysia dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia.

“Setakat ini kekuatan Team Malaysia yang berada di Ground Zero dibawah SMART adalah seramai 140 anggota manakala yang berada di Hospital Medan di Adiyaman adalah seramai 110 anggota.

“Maklum balas daripada kepimpinan Turkiye dan pemerhatian saya mendapati kita boleh berbangga dengan kesungguhan, kecekapan dan tahap profesionalisme yang tinggi sewaktu pengoperasian SAR di kawasan tersebut. Mereka telah menunjukkan pengorbanan dan keupayaan yang ternyata luar biasa,” katanya.

Anwar turut memuji pasukan SAR yang dianggapnya amat berani itu kerana melakukan kerja kerja di kawasan yang masih belum stabil serta mengalami gegaran susulan yang agak kerap.

Dalam pada itu beliau juga memaklumkan hasil pertemuan bersama Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dalam menzahirkan solidariti dan semangat persaudaraan rakyat Malaysia terhadap rakyat Turkiye berikutan bencana yang melanda negara berkenaan.

“Berdasarkan kepada solidariti dan keprihatinan rakyat Malaysia dalam membantu mereka yang terjejas di Turkiye, pihak Kerajaan ingin mengucapkan rasa terima kasih kepada semua pihak termasuk agensi-agensi kerajaan berkaitan seperti Kementerian Luar Negeri (KLN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

“Juga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan agensi-agensi lain yang terlibat,” katanya lagi.

Dalam pemakluman itu Anwar mengucapkan penghargaan kepada seluruh rakyat Malaysia, sektor swasta, badan-badan bukan kerajaan, individu dan semua pihak yang telah memberi sumbangan dalam apa jua bentuk sekalipun kepada mangsa malapetaka berkenaan. – BERNAMA

(Visited 273 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button