Rencah Hidup

Wujudkah hari meja, kerusi, wang, dapur, ibu mertua sedunia?

UCAPAN demi ucapan berkaitan sambutan Hari Tandas Sedunia, Hari Lelaki Antarabangsa, Hari Kanak-kanak Sedunia dan Hari Televisyen Sedunia sejak dua tiga hari lalu menimbulkan perasaan tanda tanya kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Ini berikutan beberapa menteri memberi ucapan berkaitan sambutan hari-hari tersebut sejak beberapa hari lalu.

Pada 19 November lalu seluruh dunia menyambut Hari Tandas Sedunia dan Hari Lelaki Antarabangsa.

“Saya mengetahui bahawa hari ini, 19 November adalah Hari Lelaki Antarabangsa. Pertama kali dalam hidup saya mengenali hari yang baik ini. Ramai rakan lelaki saya juga terkejut dengan hari lelaki ini.

“Sebelum saya tidur, saya melihat gambar Menteri Zuraida Kamarudin pada Hari Tandas Antarabangsa dalam kumpulan sembang. Saya terkejut melihat ada hari istimewa untuk meraikan kewujudan tandas,” kata Teresa.

Dalam hantarannya di media sosial, Ahli Parlimen Seputeh itu turut kagum dan tertawa kecil apabila mengetahui terdapat sambutan antarabangsa berkaitan televisyen yang diraikan hari ini.

Justeru beliau tertanya-tanya adakah meja, kerusi, dapur, kapal terbang, wang malah ibu mertua juga mempunyai hari istimewa untuk diraikan.

“Hari ini adalah Hari Televisyen Sedunia …. ha ha! Malah televisyen mempunyai hari yang istimewa.

“Saya tertanya-tanya adakah ‘hari meja dan kerusi sedunia’, atau ‘hari dapur sedunia’, atau ‘hari kapal terbang sedunia’, atau ‘hari ibu mertua sedunia’, atau ‘hari wang sedunia’, ‘hari vaksin sedunia’,” tanya Teresa.

Untuk pengetahuan pembaca, Hari Tandas Sedunia, Hari Lelaki Antarabangsa, Hari Kanak-kanak Sedunia dan Hari Televisyen Sedunia semenangnya disambut di peringkat antarabangsa.

Hari Tandas Sedunia dianjurkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) setiap tahun bagi meningkatkan kesedaran orang awam mengenai lebih 4.2 bilion orang yang hidup tanpa akses tandas yang dikendalikan dengan selamat.

Hari Tandas Sedunia juga mempunyai matlamat untuk menangani krisis kebersihan global dan mencapai Matlamat Pembangunan Lestari 6 PBB: Air dan sanitasi untuk semua pada tahun 2030.

Hari Lelaki Antarabangsa pula dirai bagi memberi kesedaran terhadap kesihatan lelaki, memperbaiki hubungan gender, menonjolkan suri tauladan lelaki, dan mempromosikan ekspresi maskuliniti yang positif.

Ia mula diaraikan pada 1968 oleh seorang wartawan Amerika bernama John P. Harris dan kemudian berkembang ke peringkat antarabangsa pada tahun 1999 selepas seorang warga Trinidad and Tobago Jerome Teelucksingh menyedari tiada sambutan istimewa untuk meraikan lelaki yang tidak mempunyai keluarga.

Hari Televisyen Sedunia pula adalah anjuran PBB bermula tahun 1996. Ia disambut sebagai mengiktiraf kesan pengaruh televisyen terhadap pengambilan keputusan yang dipaparkan oleh medium tersebut terhadap konflik dan ancaman keamanan dunia.

Ia juga disambut sebagai mengiktiraf peranan televisyen yang berpotensi dalam mempertajam fokus pada isu-isu utama lain, termasuk masalah ekonomi dan sosial.

Pun begitu, bagi menjawab pertanyaan Teresa, semakan di internet mendapati tiada sambutan bagi meraikan meja dan kerusi di peringkat antarabangsa mahupun tempatan.

Sambutan berkaitan wang semata-mata juga tidak ada, namun Hari Simpanan Wang Antarabangsa diraikan pada setiap 30 Oktober di seluruh dunia bagi mengalakkan orang ramai menyimpan duit.

Begitu juga berkaitan dapur. Tiada sambutan khas Hari Dapur Sedunia. Namun pada setiap 25 September sesetengah orang di ceruk dunia ada yang meraikan Hari Memasak Kebangsaan.

Semakan turut mendapati tiada sambutan khas buat ibu mertua. Ibu mertua seperti juga ibu sendiri boleh diraikan pada Hari Ibu. Di Malaysia Hari ibu diraikan pada minggu kedua bulan Mei setiap tahun.

Mengenai hari kapal terbang pula, ya tiada sambutan tapi pada setiap 26 Mei berlangsung Hari Kapal Terbang Kertas bagi mengingati adik beradik Orville dan Wilbur Wright yang diiktiraf sebagai pencipta kapal terbang pertama.-SM

 

 

 

 

 

(Visited 443 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button