Politik

Hina Agong: PKR telah beri amaran, termasuk pecat terhadap Iswardy

PARTI Keadilan Rakyat telah memberi amaran keras termasuk memecat terhadap anggota parti itu Iswardy Morni yang didakwa menghina Yang di-Pertuan Agong.

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata, tindakan dan perbuatan Iswardy sebelum ini telah dibincangkan serta parti telah memberikan amaran keras terhadap beliau.

Dalam perbincangan itu, PKR tidak akan teragak-agak untuk memecat Iswardy jika mengulangi perbuatan tersebut.

Beliau menegaskan, kenyataan yang dilemparkan oleh Iswardy tidak mewakili pendirian PKR.

Iswardy menurutnya, hanya seorang anggota biasa parti berdaftar di cabang Petra Jaya, Sarawak dan tidak memegang apa-apa jawatan di dalam hiraki pimpinan PKR Sarawak mahupun Pusat.

Fahmi menegaskan, PKR menjunjung dan mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu seperti tercatat dalam perlembagaan parti itu.

“Ucapan beliau di dalam video-video sebelum ini pernah dibangkit dan dibincang di dalam Biro Politik Keadilan dan keputusan telah diambil seawal April lalu dengan memberi amaran keras kepada beliau.

“Parti juga telah memberi amaran tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas termasuk memecat beliau sekiranya beliau mengulangi perbuatan yang sama,” katanya.

Fahim berkata, PKR akan menunggu hasil siasatan daripada pihak polis sebelum mengambil tindakan lanjut terhadap Iswardy.

Media sebelum ini melaporkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang mengesan Iswardy Morni berhubung kenyataannya menerusi video secara langsung dalam laman rasmi Youtube didakwa berbaur hasutan dan menghina Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Dev Kumar berkata, pihaknya kini membuka tiga kertas siasatan susulan menerima laporan berhubung video tersebut.

“Kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Sekyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan dijalankan Unit Siastaan Jenayah Terkelas Bukit Aman dan individu ini sedang kita kesan,” katanya.

Iswardy memuat naik video secara ‘live’ berhubung Total Lockdown: Apa Yang Kerajaan Gagal Belajar Dalam Setahun ini di Youtube rasmi miliknya.

Dalam video itu, Iswardy turut mengeluarkan kenyataan mendakwa Sultan Abdullah seakan-akan tidak bertindak terhadap peningkatan kes Covid-19 selain mempersoalkan sama ada Yang di-Pertuan Agong ada menerima video dibuat individu lain mendakwa Iswardy ada menghina Sultan Abdullah.

“Tuanku, bangun tak, bangun tak bangun ini. Tahu tak apa sekeliling kita kes (Covid-19) jadi 8 ribu.

“Kita tahu makan di istana itu sedap, saya tidak pernah pergi kalau dijemput masuk nak juga,” dakwanya.

Selain itu, dalam video itu, Iswardy turut membandingkan Sultan Abdullah dengan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar di negeri Johor.

“Jadi Tuanku nak buat apa Tuanku, kalau tahun lepas cepat bertindak, sekarang macam mana, bila nak bertindak. Takpe lah, biar ramai rakyat Tuanku mati, lawan tetap lawan,” dakwanya lagi.-SM

 

(Visited 367 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button