Nasional

Macau Scam: Warga emas rugi RM3.8 juta

RUGI RM3.8 juta selepas diugut akan ditangkap dan direman selama 45 hari kerana didapati terlibat dengan sindiket kegiatan penggubahan wang haram.

Nasib malang itu menimpa seorang wanita warga emas berusia 90 tahun selepa ditipu oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai pos laju dan polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, kejadian berlaku pada 13 April lalu.

“Mangsa telah menerima panggilan didakwa dari Pos Laju Malaysia bahawa terdapat bungkusan dihantar dari Ipoh ke Sabah yang mengandungi kad pengenalan dan kad bank atas namanya.

“Talian itu kemudian telah disambungkan ke pihak polis yang mendakwa dirinya sebagai Sarjan Ho Mum Foo dan Inspektor Herman Lee dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Perak,” katanya.

BACA> Kerja doktor kerajaan, tapi edar dadah

Menurut Nik Ezanee, individu yang menyamar polis itu kemudian memberitahu yang mangsa telah terlibat dengan kegiatan sindiket penggubahan wang haram.

Jelasnya, individu itu tersebut juga memberitahu yang identiti mangsa telah digunakan seorang lelaki berusia 72 tahun yang juga merupakan bekas pekerja Maybank.

“Mangsa turut diugut akan ditangkap dan direman selama 45 hari sekiranya memberitahu sesiapa mengenai kes ini.

“Bimbang dengan ugutan itu, mangsa kemudian bertindak mengikut segala arahan suspek untuk memindahkan wang simpanannya ke dalam tujuh akaun syarikat yang berbeza secara berperingkat dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.83 juta.

BACA> Thamby akhirnya serah diri

“Transaksi pertama berlaku pada 20 April lalu dan terakhir pada 15 Jun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, usaha mengesan suspek-suspek yang terlibat sedang giat dijalankan dan orang ramai dinasihati supaya tidak mudah terpedaya dengan tipu helah dan ugutan yang dilakukan oleh sindiket ini.

Tambahnya, modus operandi terkini sindiket ini menyasarkan golongan warga emas yang kurang pendedahan mengenai maklumat-maklumat terkini jenayah siber. -SM

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button