Uncategorized

Syed Saddiq dituduh pecah amanah babit RM1.1 juta

Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didakwa atas dua pertuduhan pecah amanah membabitkan lebih RM1.1 juta di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.

Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dari kandang tertuduh dalam prosiding yang bermula pukul 9 pagi ini.

Bagi pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada), menggunakan kapasiti yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana Armada, telah melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut.

Dia didakwa dengan curangnya telah membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu.

Kejadian didakwa berlaku di Menara CIMB, Jalan Stesen Sentral 2, Kuala Lumpur Sentral pada 6 Mac tahun lalu.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, bekas Menteri Belia dan Sukan, didakwa menyalahgunakan wang sumbangan RM120,000 untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14 ).

Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara enam bulan sehingga lima tahun atau sebat dan denda, jika sabit kesalahan.

Pengasas parti Muda itu diwakili peguam bela Gobind Singh Deo, Datuk Ambiga Sreenevasan, dan Haijan Omar.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM300,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali dan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah bagi pertuduhan pertama.

Sementara bagi pertuduhan kedua, mahkamah menetapkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh sebutan semula bagi kedua-dua kes pada 10 September ini untuk penyerahan dokumen.-SM

(Visited 270 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button