Nasional

Raja Muda Perlis titah ucapan selamat menyambut Hari Pekerja

RAJA Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan ucapan ‘Selamat Menyambut Hari Pekerja’ kepada semua.

Teristimewa juga dizahirkan penghargaan kepada seluruh warga kerja di ‘Barisan Hadapan’ yang bertugas secara langsung maupun tidak langsung di atas pengorbanan besar mereka bagi memerangi dan menghadapi penularan Covid-19.

Baginda penuh yakin walaupun semua pekerja akan terpaksa menerokai operasi kerja dalam kondisi norma baharu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri bermula pada isnin ini.

Namun tahap produktiviti dan kualiti kerja masing-masing akan terus dapat dikekalkan sepertimana sebelum ini, malahan boleh dipertingkatkan lagi oleh semua.

Demikian titah baginda yang juga merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyempurnakan majlis simbolik penyerahan bantuan MAIPs berjumlah RM3,162,000 untuk golongan sasar yang akan diagihkan melalui masjid-masjid seluruh Negeri Perlis di Galeri DiRaja Arau hari ini.

Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Nohd Nazim Mohd Noor.

Tuanku Raja Muda Perlis menasihatkan agar semua pihak akan sentiasa bersikap positif, berhati-hati dalam amalan bekerja serta lebih serius mematuhi segala perintah dan arahan pihak berkuasa mengenai keselamatan dan kesihatan diri bagi menghadapi fasa akhir dan juga kemudiannya pada era pasca penularan pandemik ini.

Para pekerja juga dititahsarankan supaya lebih kerap tampil ke hadapan bagi memberikan sumbang saran konstruktif dengan secara berhemah kepada pihak majikan.

Ini supaya kedua-dua pihak berupaya memperolehi situasi menang-menang bagi memaksimakan produktiviti dan pada masa yang sama mengoptimakan pengeluaran dan hasil kepada organisasi.

Tambah Raja Muda Perlis, integriti merupakan perkara yang amat penting dalam setiap pekerjaan dan kesediaan pekerja itu sendiri untuk menjalankan tugas menurut tuntutan semasa sesebuah organisasi yang memberikan sumber pendapatan dan mata pencarian kepadanya dengan sebaik mungkin.

Integriti titah baginda, bermaksud ketelusan dalam melaksanakan sesuatu tugas.

Titah baginda, elemen-elemennya ialah seperti amanah pada masa dan tugas serta jujur dalam komunikasi dan tingkah laku, bertanggungjawab dengan bersedia untuk berhadapan dengan sebarang tindakan yang telah dibuat serta memikul rasa komitmen dalam melaksanakan tugas serta berdisplin.

Ini titah baginda, bertindak mengikut arahan yang diberikan serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan, apatah lagi apabila dibenarkan untuk bekerja dari rumah atau diperlukan datang ke pejabat pada yari yang berselang seli dan sebagainya yang sesungguhnya memerlukan tahap motivasi dan fokus yang amat tinggi.

Pada masa yang sama warga kerja baik daripada sektor awam mahupun swasta hendaklah senantiasa mempunyai pemikiran kritis, membudayakan ilmu di samping memperkasakan nilai kesukarelawan dalam diri masing-masing. – SM

(Visited 304 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button