Berita

Anggota PALAPES, Wataniah beragama Islam diingat bertakwa kepada Allah – Raja Muda Perlis

Islamabad, Pakistan.

Anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) secara khusus dan juga anggota Askar Wataniah secara umumnya yang beragama Islam diingatkan supaya sentiasa beriman dan bertakwalah kepada Allah Subhanawataala.

Ini membawa maksud nilai-nilai spiritual dan agama itu harus dijadikan pegangan kerana ia dapat membawa kepada pengukuhan jati diri serta keseimbangan dalam aspek kerohanian dan fizikal.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyerahkan sumbangan daripada sumber zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM1,000 kepada National Defence University (NDU) of Pakistan Mosque di Islamabad baru-baru ini.

Sumbangan tersebut diserahkan oleh baginda merangkap Yang DiPertua MAIPs sejurus selepas menunaikan solat jumaat kepada Tuan Imam Ejaz yang mewakili pihak masjid berkenaan. Sumbangan tersebut boleh digunakan untuk tujuan kegunaan aktiviti dakwah, pengajian dan kemasyarakatan masjid itu.

Tuanku Raja Muda Perlis yang juga selaku Tuanku Komander Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Keteri Perlis berangkat ke Pakistan selama tiga hari bagi mengetuai delegasi ‘Lawatan Kerja Akademik dan Strategi Ketenteraan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Awam (UA) Malaysia’ yang antara lain untuk memulakan beberapa kerjasama akademik dan strategi ketenteraan dengan universiti atau organisasi di negara itu.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Prof Kol (K) Ir Ts R Badlishah Ahmad dan Kapten Mohamad Idham Abdullah Thani.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Pakistan, TYT Ikram Mohamad Ibrahim dan Penasihat Pertahanan di Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Islamabad, Kolonel Abu Hashim Jamaludin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut mengingatkan setiap anggota supaya sentiasa setia kepada negara dengan bersama-sama sedia berkorban dan tidak sekali-kali mengenal erti menyerah kalah bagi memastikan kita tidak akan sama sekali membiarkan anak cucu kita nanti terpaksa menjadi pelarian di negara sendiri sekiranya kita memberi peluang kepada orang lain mencerobohi kedaulatan negara tercinta ini.

(Visited 155 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button