Nasional

Jumlah pengunjung Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia melebihi 400% dari sasaran – KSN

PROGRAM Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia yang berlangsung selama empat hari sejak Khamis lalu telah mendapat sambutan luar jangkaan.

Menurut Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki bin Ali, jumlah pengunjung program yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu telah melebihi sasaran sebanyak 400 peratus.

“Menurut angka rasmi yang dicatatkan oleh pihak penganjur 103,000 ribu orang berbanding sasaran awal kita 20,000 iaitu pencapaian sebanyak 400 peratus.

“Kalau ikut jangkaan awal kita menjangkakan anggaran dalam 4,000 hingga 5,000 orang sehari berdasarkan perbincangan kita dengan pihak Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam ucapan Rumusan 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia yang sekaligus menjadi penutup acara berkenaan.

Mohd. Zuki berkata, disebabkan sambutan luar jangkaan itu beberapa perkara terpaksa dipinda termasuk menutup kaunter pembayaran saman yang dibuka oleh Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan.

Sementara itu, bagi meneruskan momentum dan kesinambungan aspirasi Keluarga Malaysia, penganjuran pelbagai program dan inisiatif tersebut akan diteruskan melalui Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat negeri.

“Ini bertujuan untuk membolehkan semua lapisan rakyat memahami dan menghayati aspirasi YAB Perdana Menteri dalam memulihkan semula ekonomi dan kehidupan yang terkesan akibat Pandemik COVID-19.

“Sekalung tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua pihak terutama Pejabat Perdana Menteri, SEPADU, MAMPU, Jabatan Perdana Menteri, Anggota Keselamatan, pihak KLCC, dan semua yang menjayakan program ini sama ada secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Zuki berkata, seramai 3,628 peserta daripada 4,005 peserta berdaftar Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia telah dipanggil menghadiri temuduga dan lebih 2,690 orang telah berjaya ke tapisan akhir dalam jawatan yang dipohon.

Karnival Kerjaya Keluarga Malaysia menawarkan 24,136 pelbagai jawatan daripada 75 majikan.

Manakala Program Jom Masuk IPT Keluarga Malaysia pula telah memberi peluang kepada pengunjung terutamanya lebih 5,000 orang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Dalam pada itu reruai Kementerian Pertahanan diumumkan sebagai reruai terbaik manakala seorang pegunjung bernama Kartini Kasim terpilih sebagai pemenang utama cabutan bertuah iaitu sebuah Proton X-50.-SM

 

(Visited 309 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button