Ekonomi

13 negara Afrika mendapat manfaat daripada Program Latihan Negara Ketiga 2023

SME Corp. Malaysia dengan kerjasama Kementerian Luar Negeri, Malaysia (MOFA) dan Japan International Cooperation Agency (JICA) telah menganjurkan Program Latihan Negara Ketiga (TCTP) 2023, yang berjaya memanfaatkan 13 delegasi dari pelbagai negara Afrika. Majlis Penutup bagi program latihan intensif selama sembilan hari ini telah diadakan pada 19 September 2023 di Hotel Sheraton Imperial Kuala Lumpur. Program TCTP ini merupakan platform pertukaran pandangan dan perkongsian kejayaan bagi amalan terbaik mengenai pembangunan PMKS oleh Malaysia dan Jepun.

Semasa program latihan tersebut, para peserta juga berpeluang berinteraksi dengan lebih daripada 20 organisasi yang berkaitan di Malaysia. Penglibatan ini memberikan mereka pandangan dan amalan terbaik, terutamanya dalam bidang penting seperti dasar, rangka kerja dan inisiatif strategik yang memberi manfaat kepada peserta program. Bidang tumpuan lain termasuk mempermudah akses pasaran, pengantarabangsaan PMKS, dan kepentingan aspek kewangan dalam meningkatkan pertumbuhan PMKS.

Selain itu, para peserta juga didedahkan dengan dunia perniagaan melalui penganjuran lawatan ke Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) serta dua (2) syarikat tempatan, iaitu Boom Grown dan Kumpulan Aerodyne.

Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Datuk Seri Panglima Bernard Giluk Dompok semasa ucapan penutupnya berkata, “Malam ini, kita meraikan semangat yang sama, jalinan hubungan yang telah terjalin, dan pengetahuan yang dipelajari sepanjang usaha kita bersama dalam pembangunan PMKS”.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Encik Rizal bin Nainy pula berkata, “Program TCTP telah dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia sejak tahun 2011 dan sehingga kini, seramai 171 peserta dari 15 negara Afrika telah mendapat manfaat daripada program ini. Pada tahun ini, seramai 13 delegasi dari pelbagai negara Afrika iaitu Botswana, Burkina Faso, Ghana, Kenya, Mauritius, Mozambique, Nigeria, Somalia, Afrika Selatan, Uganda, Zambia, Zimbabwe dan Namibia telah dipilih”.

“Dengan komitmen berterusan kami untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa dan menerajui inisiatif PMKS global, SME Corp. Malaysia menjangkakan lebih banyak program yang memberikan impak sebegini bakal dilaksanakan pada masa akan datang”, tambah Rizal.

Semasa majlis penutup tersebut, Rizal turut menyampaikan sijil kepada para peserta bagi mengiktiraf dan menghargai komitmen dan dedikasi mereka. Sementara itu, peserta dari Zambia, Musheke Kakuwa telah dianugerahkan ‘Pelan Tindakan Terbaik’ TCTP 2023 atas pembentangan pelan tindakan yang menyeluruh. Manakala, anugerah ‘Peserta Terbaik’ telah diberikan kepada Nancy Theopolina Mupiya dari Namibia.

Hadir sama semasa majlis penutup TCTP ialah Devrin Jeck, Setiausaha Bahagian Kerjasama dan Pembangunan Antarabangsa, MOFA, Nakagawa Tatsuya, Setiausaha Kedua Kedutaan Jepun di Malaysia, Sugawara Minako, Ketua Perwakilan JICA dan Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia. – SM

Artikel berkaitan > Anugerah E50 bantu usaha penjenamaan Perusahaan Kecil dan Sederhana – SME Corp

(Visited 40 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button