Nasionalpilihan

PERKESO kuat kuasa had siling gaji baharu bagi maksud caruman mulai hari ini

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) menerusi agensinya, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan menguatkuasakan siling gaji baharu bagi maksud caruman, mulai 1 September 2022.

Ini adalah susulan pindaan kepada Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang melibatkan peningkatan had siling gaji bagi maksud caruman daripada RM4,000 kepada RM5,000 sebulan.

Langkah meningkatkan siling gaji ini akan menambah baik liputan keselamatan sosial PERKESO menerusi peningkatan kadar bayaran faedah-faedah sedia ada sehingga 25.3%.

Faedah-faedah tersebut adalah seperti Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Penakat dan Pencen Ilat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800.

Mulai September 2022, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja yang bergaji melebihi RM4,000 sebulan adalah seperti mana yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 dan Jadual Kedua, Akta 800.

Bagi pekerja yang bergaji melebihi RM5,000 sebulan pula, amaun caruman adalah mengikut had siling gaji RM5,000.

Oleh itu, bayaran caruman bagi bulan September 2022 dan seterusnya hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu.

Majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing, bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh PERKESO.

Dijangka seramai 1.5 juta pekerja atau hampir 19% daripada keseluruhan pencarum PERKESO di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji ini yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Sejak penubuhannya dari 1971 sehingga kini, peningkatan siling gaji ini telah dilaksanakan sebanyak lima kali oleh PERKESO. Langkah ini dilaksanakan sejajar dengan usaha berterusan agensi ini ke arah menyediakan perlindungan sosial yang lebih komprehensif kepada pencarum dan orang tanggungannya. – SM

Artikel berkaitan > PERKESO, TERAJU jalin kerjasama lindungi usahawan Bumiputera

 

(Visited 405 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button