Nasional

Rakyat Malaysia boleh guna PADU tanpa was-was

Rakyat Malaysia boleh menggunakan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tanpa ragu-ragu atau risau terhadap tahap keselamatan data peribadi mereka, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata pembangunan sistem tersebut yang turut melibatkan beberapa entiti penting seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), CyberSecurity Malaysia dan Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP) menunjukkan aspek keselamatan siber dititikberatkan.
“JPDP adalah jabatan yang sangat proaktif untuk pastikan cara simpanan data itu tertib dan ikut undang-undang, gerak kerja mereka sangat rapi.
“Saya rasa rakyat Malaysia boleh menggunakan sistem PADU tanpa was-was, tanpa ragu-ragu dan tanpa sebarang rasa risau terhadap tahap keselamatan data peribadi mereka,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran PADU yang disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya hari ini.
Fahmi berkata PADU sebagai ‘pengubah keadaan’ akan menjadi satu anjakan budaya dan memudahkan kerajaan untuk merangka dasar dan gerak kerja bersesuaian terutamanya untuk membantu rakyat.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata PADU merupakan suatu pangakalan data keterhadapan yang akan membantu kerajaan melakukan penjimatan dan memastikan rakyat yang berhak mendapat subsidi.
“Subsidi kita (Malaysia) tersasar suatu ketika dahulu dan harus kembali ke landasan bagi menentukan hanya yang berhak memperoleh subsidi,” katanya.
Ahmad Zahid berkata PADU harus dilaksanakan segera supaya penjimatan dapat dilakukan agar lebih banyak program pembangunan dapat disalurkan melalui penjimatan itu.
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata pelancaran PADU merupakan detik bersejarah penting bagi negara ke arah pelaksanaan transformasi digital.
“Amat penting untuk kita pastikan semua dapat kerjasama untuk kemas kini maklumat terkini dalam sistem PADU. Bagi pihak kementerian, kita menyokong penuh inisiatif Kementerian Ekonomi ini,”katanya.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke pula berkata Ahli Parlimen (MP) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kini mempunyai tanggungjawab lebih penting untuk memastikan rakyat di kawasan mereka mengemas kini data PADU.
“PADU merupakan satu kelebihan apabila ada satu pangkalan data, ia membolehkan bantuan dapat disalurkan dengan lebih baik.
“Ini perlukan usaha daripada barisan hadapan khususnya MP dan ADUN kena sama-sama membantu di kawasan masing-masing untuk kemas kini info dan maklumat orang ramai,” katanya yang juga Ahli Parlimen Seremban dan ADUN Chennah.
(Visited 110 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button