Mahkamah

Rasuah REE: CEO Perbadanan Menteri Besar, pengarah syarikat ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu bagi membantu siasatan berhubung rasuah dan salah guna kuasa dalam sektor perlombongan melibatkan jumlah rasuah melebihi RM13 juta.

Kedua-dua mereka, seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan seorang wanita berjawatan pengarah syarikat, ditahan reman tiga hari hingga Jumaat.

Perintah reman dikeluarkan secara berasingan di Mahkamah Majistret Alor Setar dan Mahkamah Majistret Shah Alam pada Rabu.

Menurut sumber, suspek yang masing-masing berusia 63 dan 40 tahun itu ditahan lewat petang Selasa di Alor Setar dan Kuala Lumpur.

Sumber memberitahu, aktiviti perlombongan yang dijalankan secara haram oleh syarikat itu didakwa mendapat perlindungan daripada pihak berkuasa sejak tahun 2020.

Sehubungan itu, hasil siasatan yang dijalankan dapat mengesan bahawa beberapa pembayaran disyaki melibatkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terlibat sebagai sogokan bagi melindungi kegiatan perlombongan haram ini dalam tempoh 2020 hingga 2023.

Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah dalam tahun 2016 lagi.

Projek tersebut bertujuan untuk menanam semula pokok-pokok getah klon balak di kawasan pembalakan yang terlibat.

Pada tahun 2020, syarikat yang sama telah mengemukakan permohonan kepada Kerajaan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti perlombongan unsur nadir bumi (REE) dalam kompartmen yang sama.

Namun, setakat ini tiada kelulusan diberikan oleh kerajaan negeri berhubung permohonan syarikat tersebut bagi menjalankan aktiviti perlombongan itu.

Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan penahanan tersebut.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.

(Visited 433 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button