Ekonomi

Dulu usahawan kini asnaf, namun cekal untuk bangkit

DAHULU beliau merupakan seorang usahawan jahitan yang berjaya hingga boleh membekalkan pakaian kepada syarikat korporat, agensi kerajaan dan syarikat swasta,

Namun kerana Pandemik Covid-19, pemilik kedai Tukang Jahit Sauyah menjadi seorang asnaf  berikutan wabak tersebut memberikan kesan yang amat besar kepada perniagaannya.

Sauyah Akim, 53, seorang ibu tunggal dan mempunyai empat orang kini merupakan salah seorang penerima sumbangan sebanyak RM400 daripada pusat zakat. Perniagaan kedai jahit yang diusahakan sejak 15 tahun lalu di Kuala Selangor kini terjejas.

“Ketika pandemik melanda kita diarahkan tutup kedai begitu lama. Buka lepas itu tutup dengan tidak mendapat tander-tander kerajaan. Memang kami terkesan keterlaluan.

“Pendapatan pun tak ada. Anak masih bersekolah, kelangsungan hidup itu perlu diteruskan. Makan, pakai, tanggungjawab terhadap anak-anak, sekolah dan pinjaman yang perlu dibayar.

“Bila tak ada tander, hanya tinggal beberapa orang pekerja termasuk anak saya sendiri. Saya sekarang sudah menjadi asnaf. Bila berlaku pendemik perniagaan memang jatuh cuma alhamdullilah masih belum tutup kedai,” katanya ketika ditemui Suara Merdeka baru-baru ini.

Nasibnya ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Ketika berhadapan dengan Covid-19 bekas suaminya memfaikan permohonan kepada mahkamah untuk tidak meneruskan pemberian nafkah kepada anak-anak kerana mendakwa mereka sduah bekerja.

Menurut Sauyah, masih terdapat dua orang anaknya belajar iaitu seorang di institusi pengajian tinggi awam dan seorang lagi di seolah rendah.

Jelas Sauyah, dia tidak menerima sapina daripada mahkamah berikutan PKP dan dia tidak mampu untuk mengupah peguam bagi menguruskan kes tersebut.

“Saya berurusan dengan peguam lama, saya tidak terima sapina dan jumlah bayaran adalah RM8,000 tetapi saya tidak mampu nak bayar, peguam kurangkan kepada RM6,000 saya masih tidak mampu untuk membayar.

“Peguam minta saya bayar RM500 setiap bulan pun saya masih tidak mampu. Nak ambil biro guaman kena tunggu giliran yang lama. Ada tempoh 14 hari untuk lawan. Tapi saya tidak mampu.

“Saya pergi pusat zakat untuk meminta bantuan bagi pengajian anak. Zakat buat bancian dan saya layak menerima bantuan asnaf RM400 sebulan,” katanya.

Ada satu ketika ketika menempuh Perintah Kawalan Pergerakan, menurut Sauyah dia dan anak-anak terpaksa mendapatkan bantuan makanan di surau yang menyediakan bank makanan kepada yang memerlukan.

Demi untuk meneruskan kelangsungan hidup dia dan anak-anaknya membuka perniagaan pakaian terpakai Millissories_Thrift secara dalam talian.

“Permulaan memang sangat sukar, pandemik ini satu kejutan pada kita untuk survive dalam hidup. Macam mana nak hidup bila tidak ada pendapatan, macam mana nak makan, bayar bil elektrik, air dan anak masih bersekolah.

“Macam-mana saya nak buat kedai tutup? Saya cuba bincang dengan anak buat perniagaan pakaian bundle.

“Walaupun harga baju bundle tidak mahal iaitu RM10, RM5 sehelai tetapi tidak menggalakkan sangat. Tapi kami buat supaya sekurang-kurangnya ada duit untuk makan,” kata Sauyah.

Dia bagaimanapun reda dengan nasib yang menimpa diri dan anak-anaknya.

Menjadi seorang asnaf membuatkan beliau sedar betapa pentingnya zakat perniagaan yang dikeluarkan ketika perniagaannya maju sebelum pandemik Covid-19 melanda.

“Saya tidak pernah menjangkakan saya akan menjadi asnaf, tak termimpi dan tidak terfikir pun. Tapi saya bersyukur menjadi asnaf kerana boleh saya merasai bagaimana kesusahkan orang lain menjadi asnaf.

“Dulu waktu saya membayar zakat saya terfikir di mana zakat yang saya bayar ini disalurkan, saya ada tertanya. Adakah benar zakat tersebut disalurkan.

“Bila saya menjadi asnaf saya tahu mereka salurkan di tempat-tempat yang betul, seperti saya sendiri yang menerima sumbangan dan disediakan kursus-kursus yang keluar daripada menjadi asnaf,” tambahnya.

Sebelum wabak melanda dan PKP dikuatkuasakan perniagaan Kedai Jahit Sauyah menerima tempahan daripada Polis Diraja Malaysia, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Majlis Perbandaran Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Selayang, Keretaapi Tanah Melayu dan syarikat swasta yang lain.

Bagaimanapun sejak tahun lalu lebih 50 tender beliau hantar namune tidak satu pun diterima. Namun Sauyah tetap cekal dan akan meneruskan perniagaannya demi anak-anak.

“Reda dengan keadaan, dalam masalah adalah peluang, cari peluang di situ. Kita tak boleh duduk diam seolah-olah menerima, sebelum reda kena ada ikhtiar, usaha, doa baru kita reda.

“Kena ada empat jalan iaitu berdoa, beriktiar, berusaha, kemudian barulah kita reda dan berserah pada Allah,” nasihat beliau.

Bagi yang mahu membuat tempahan pakaian lelaki dan wanita boleh menghubungi Sauyah di 019-2741092 dan 03-32896411.-SM

 

(Visited 514 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button