NasionalNegeri

Tender: Bekas kontraktor tidak mengaku palsukan akaun bank

SEORANG bekas kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kangar hari ini atas kesalahan memalsukan akaun bank bagi mendapatkan tender projek di Padang Besar.

Syed Aminuddin Syed Ali, 51, telah membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Nor Salha Datuk Hamzah dan meminta kesnya dibicarakan.

Nor Salha menetapkan 5 April depan sebagai tarikh untuk sebutan semula.

Beliau juga membenarkan tertuduh dikenakan wang ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, Syed Aminuddin pada 12 Julai 2019 di Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis (PKENPs) dengan curangnya telah menggunakan satu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Bank Islam Syarikat Amza Wawasan Enterprise bertarikh Mac 2019 hingga Mei 2019.

Yang mana tertuduh mempunyai sebab untuk mempercayai dokumen itu palsu bagi mendapatkan tender bagi Kerja-Kerja Cadangan Meroboh dan Membina Bangunan Arked Niaga 2, Tingkat Baru Di Atas Lot 8169, Padang Besar.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan (KK) di mana membawa hukuman boleh diseksa, dipenjara selama tempoh yang boleh sampai dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Sebelum itu Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Perlis, Rehab Abdul Syukur meminta mahkamah menggenakan RM20,000 sebagai wang ikat jamin ke atas tertuduh.

Manakala peguam tertuduh, Nor Diana Abdul Shukor meminta mahkamah mengurangkan wang jaminan kerana tertuduh telah hilang pekerjaan apabila lesen kontraktornya telah disenaraihitam oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sejak dikaitkan dengan kes ini.

Nor Diana berkata, anak guamnya juga terpaksa menanggung hutang dengan kedai hardware dan bahan binaan.

“Beliau juga mempunyai tanggungan membela ibu setelah kematian ayah pada 2012 selain menanggung isteri yang tidak bekerja, seorang anak belum bekerja dan seorang lagi sedang belajar di sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor,” katanya.

Selain itu katanya, tertuduh juga berpenyakit gout di mana memerlukan rawatan pada satu-satu masa.- SM

(Visited 218 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button