Nasional

Modul eKuota ambil pekerja asing ditamatkan

KEMENTERIAN Sumber Manusia menamatkan modul eKuota Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang digunakan dalam proses permohonan, pengesahan dan kelulusan pengambilan pekerja asing.

Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM), Asri Ab Rahman berkata, semua majikan yang ingin mengambil pekerja asing kini dikehendaki menghadiri sesi temu duga di pusat sehenti kementerian.

Beliau berkata, satu jawatankuasa khas sementara di peringkat kementerian telah ditubuhkan bagi menyegerakan permohonan kuota pengambilan pekerja asing.

Ini selaras dengan keputusan mesyuarat Jemaah Menteri pada 6 April agar kementerian mempercepatkan proses permohonan pekerja asing yang diperlukan oleh industri, katanya.

“Penubuhan jawatankuasa khas sementara ini secara tidak langsung telah mengubah proses dan penglibatan JTKSM dalam pengendalian permohonan penggajian pekerja asing menerusi modul FWCMS.

“Menerusi arahan Kementerian Sumber Manusia bertarikh 6 Mei 2022, semua permohonan penggajian pekerja asing yang sedang diproses atau masih dalam tindakan JTKSM sama ada di peringkat Pejabat Tenaga Kerja (PTK) cawangan dan ibu pejabat hendaklah dihentikan serta-merta,” kata Asri.

Beliau berkata, arahan ini terpakai serta-merta sehingga terdapat arahan lanjut yang akan dikeluarkan.

Dalam sidang media pada 12 April lalu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, kuasanya untuk meluluskan segera permit pekerja asing telah digantikan dengan portal FWCMS.

Kata Saravanan, sebanyak 179,451 permohonan untuk mengambil pekerja asing dalam lima sektor iaitu pertanian, pembinaan, pembuatan, perladangan dan perkhidmatan akan diproses dan diluluskan dalam tempoh enam minggu. – SM

(Visited 374 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button