Berita

Tragedi Pantai Teluk Bidara: Keluarga reda ‘pemergian’ mangsa

Suasana sedih dan hiba menyelubungi pekarangan Unit Forensik Hospital Dungun di sini apabila ahli keluarga empat pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), yang lemas di Pantai Teluk Bidara, dekat sini dua hari lepas, melakukan proses pengecaman mangsa.

Maznah Muda, 54, ibu kepada Muhammad Zul Fahmi Zuki, 21, berkata beliau tidak mampu menahan air mata apabila menatap wajah anak kedua dari lima beradik itu yang ditemukan pada kira-kira 7.35 pagi tadi.

Naluri keibuannya merasakan jasad mangsa pertama yang ditutup pihak hospital adalah anaknya dan terbukti benar apabila mengenali parut akibat kemalangan pada badan mangsa.

“Syukurlah kerana penantian sejak Jumaat lepas akhirnya terjawab, walaupun hanya jasad kaku yang pulang, dapat juga saya mengucupnya untuk kali terakhir melepas rindu,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Mayat Muhammad Zul Fahmi, dari Kemaman, yang pertama dijumpai manakala mayat kedua, Muhammad Ikhwan Ahmad Azhan, dari Kuala Terengganu, ditemui pada pukul 11.35 pagi oleh sekumpulan nelayan di Teluk Lipat, kira-kira lapan kilometer dari lokasi kejadian.

Mayat ketiga, Muhamad Luqman Al Rashid Mohamed Sabarudin yang berasal dari Kuantan, Pahang pula ditemui pukul 12.09 tengah hari tadi dan mayat terakhir, Mohamad Amir Izzudin Zulkiflee ditemui terapung kira-kira dua batu nautika dari Pantai Teluk Bidara, di sini, 3 petang tadi.

Mohamad Amir Izzudin yang berasal dari Air Keroh, Melaka, ialah atlet silat olahraga negeri itu.

Sementara itu, Mohamed Sabarudin Mohd Ali, 58, bapa kepada Muhammad Luqman Hakim Al Rashid, 21, bersyukur dengan penemuan anak bongsu daripada empat beradik itu.

“Saya reda… dah sampai masa dia ´pergi´. Pengecaman dibuat oleh abangnya, Mohamad Shafiq, berdasarkan tanda parut pada badan dan seluar yang dipakai kerana seluar itu adalah milik abangnya.

“Saya turut berterima kasih kepada semua pasukan penyelamat yang bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamat anak saya, begitu juga semua doa rakyat Malaysia, saya sangat hargainya,” katanya.

Beliau berkata jenazah anaknya itu akan dibawa ke Kampung Panchor, Kuala Dong, Raub, Pahang untuk dikebumikan di kampung neneknya.

“Liang lahad pun sudah siap digali dan kita akan bawa pulang jenazah hari ini untuk dikebumikan,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 6.30 petang Jumaat lepas, kesemua mangsa yang berumur 21 tahun dikatakan mandi di kawasan berbatu dan tergelincir, sebelum dipercayai ditarik ombak.

— BERNAMA

(Visited 245 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button