Nasionalpilihan

Polis ambil keterangan dua pelajar kes buli

Abang cekik adik hingga maut

Polis mengambil keterangan dua pelajar berusia 16 tahun di sebuah sekolah asrama di Alor Gajah, Melaka berhubung kes buli terhadap seorang pelajar berusia 14 tahun yang merupakan suspek utama kes bunuh adiknya Rabu lalu.

Mengesahkan perkara tersebut, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kedua-dua pelajar itu dipercayai terlibat dalam kejadian buli ke atas suspek yang juga pelajar tingkatan dua di sekolah sama.

Menurutnya, setakat ini hanya dua pelajar telah diambil keterangan bagi membantu siasatan lanjut kes tersebut mengikut Seksyen 323 Kanun keseksaan.

“Kita sedang melengkapkan kertas siasatan sebelum diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN),” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Arshad berkata, setakat ini tiada tangkapan dibuat berhubung insiden tersebut.

“Saya minta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi kerana pihak polis masih menjalankan siasatan,” ujarnya.

Rabu lalu seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik sehingga mati oleh abang kandungnya di rumah keluarga mereka di Kampung Bukit Piatu di sini kira-kira pukul 12 tengah hari.

Kejadian tersebut dilihat ibu mangsa menerusi kamera litar tertutup (CCTV) dari telefon bimbitnya sebelum menghubungi jirannya meminta pertolongan.

Susulan itu, pelajar berkenaan ditahan reman selama tujuh hari sehingga 12 Julai ini bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu bapa mangsa mendakwa anak sulungnya itu sering menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu apabila hampir setiap hari dipukul, disepak dan dicekik pelajar senior.

Menurutnya lagi, perbuatan itu pernah dilaporkan kepada pihak sekolah malah sudah membuat laporan polis namun tiada sebarang tindakan diambil. – SM
Share this:

(Visited 81 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button