Nasional

Catuan Air: Aktiviti harian penduduk terkesan, harap masalah bekalan air selesai

MELAKA, 6 Feb — Rata-rata penduduk di kawasan yang sering mengalami gangguan bekalan air di Melaka berharap pihak yang berkenaan dapat menyelesaikan masalah itu dengan segera dan mekanisme catuan yang lebih baik dapat ditampilkan agar tidak terlalu membebankan rakyat.

Walaupun kebanyakan mereka yang ditemui Bernama memahami bahawa catuan adalah sesuatu yang perlu dilaksanakan bagi memastikan bekalan air negeri mencukupi sehingga bulan berikutnya, keluhan tetap kedengaran memandangkan banyak aktiviti harian terjejas akibat catuan.

Aziz Mamat, 67, dari Kampung Lorong Pandan di sini berkata dia terpaksa membeli tangki air berkapasiti 300 gelen bagi menyimpan bekalan air agar dapat menampung keperluan harian 10 beranak khususnya semasa hari catuan dilaksanakan.

“Nak tak nak kami terpaksa beli tangki air berharga RM300 untuk menyimpan air kerana ia satu keperluan dan masalah gangguan air di Melaka telah berlarutan sejak tahun lepas lagi.

“Dengan adanya tangki bekalan ini saya dan ahli keluarga lain tidak perlu risau dan mencari Pusat Agihan Setempat (OSC) untuk mendapatkan bekalan, lebih jimat masa dan tenaga,” kata pesara tentera itu kepada Bernama di sini, hari ini.

Melaka pada 29 Jan lepas melaksanakan catuan bekalan air harian membabitkan 550,673 orang iaitu 62.8 peratus penduduk bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi menghadapi cuaca panas kering dalam fasa kedua Monsun Timur Laut dijangka berakhir bulan hadapan.

Kusrini Alimin, 37, pula berkata langkah kerajaan negeri melakukan catuan walaupun selang sehari turut memberi kesan kepadanya dan beberapa penduduk di Flat Taman Aneka di sini khususnya yang tingkat di atas.

Suri rumah itu berkata dia akan bergilir-gilir dengan suami, Azri Baharom, 45, akan mengangkut air dari OSC yang disediakan di kawasan flat tersebut untuk ke tingkat empat rumahnya terutama apabila bekalan air tidak sampai ke rumahnya.

“Saya duduk di tingkat empat dan selalu juga air tidak ada walaupun pada hari itu ia bukan hari catuan dilakukan, mungkin disebabkan faktor ketinggian menyebabkan bekalan air mengambil masa untuk sampai ke atas.

“Saya harap masalah ini dapat segera diatasi terutama masa untuk bekalan air sampai ke rumah pengguna pada hari bukan catuan, pernah sekali tu pukul 5 petang baru rumah saya ada air,” katanya ibu kepada tiga anak itu.

Peniaga makanan, Lee Lai Min, 44, berkata gangguan bekalan air yang berlaku sejak seminggu lepas bukan sahaja memberi kesan pada aktiviti harian, malah turut menjejaskan perniagaan makanan yang diusahakannya di Kampung Lapan.

Katanya beliau terpaksa memendekkan waktu operasi perniagaan dalam usaha menjimatkan bekalan air yang menjadi satu keperluan terutama mencuci pinggan, mangkuk dan gelas yang digunakan.

“Lagi lama berniaga lagi ramai pelanggan datang makan. Simpan banyak air pun kalau pelanggan ramai banyak juga nak guna air, selalu tutup malam tapi sekarang pukul 5 sudah kena tutup. Kita berniaga bukan boleh main-main, air bersih penting, kalau tidak nanti pelanggan sakit kita lagi susah,” katanya yang telah berniaga sejak 1990.

— BERNAMA

 

(Visited 1,210 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button