Nasional

Pejuang, NGO jalin kerjasama hadapi PRU-15 – Tun Mahathir

Wartawan Suara Merdeka

MELAKA 4 Jun – Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengorak langkah terbaharu untuk bekerjasama dengan
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, sudah ada perbincangan dengan beberapa NGO ke arah usaha
untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya dan keadaan itu akan berterusan sebelum PRU-15 diadakan.

Menegaskan perkara tersebut, Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, kerjasama dengan NGO adalah lebih baik
jika hendak dibandingkan dengan parti politik kerana mereka berjuang bukan untuk bangsa atau negara.

Sebaliknya kata beliau, perjuangan parti politik didokong oleh orang Melayu lebih ke arah untuk mendapat
tempat menjadi Perdana Menteri dan Menteri.

“Pejuang telah mengadakan pertemuan dengan banyak NGO dalam kelompok yang kecil yang terdiri daripada
bekas pesara tentera, guru dan kakitangan kerajaan serta golongan profesional yang berminat untuk
menyelamatkan bangsa Melayu.

“Di Malaysia terdapat 100 ngo Melayu untuk kita berbincang dan menjalin kerjasama bagi menghadapi PRU-15
yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Memang benar Pejuang akan bekerjasama dengan NGO di negara ini kerana mereka juga ada hak mengundi. Kalau
UMNO bergantung kepada ahli parti, mereka tidak boleh menang. UMNO menang kerana ramai orang sokong, kita
pun macam itu juga.

“Kita tidak berminat mengadakan kerjasama dengan parti lain kerana ramai penyangak dan pencuri serta
mereka lebih mengejar kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Menteri.

“Pejuang bukan macam itu, kita lebih tertumpu memperjuangkan nasib bangsa Melayu yang ketika ini sangat
kecewa dengan segelintir ahli politik yang mengejar kedudukan.

“Ada NGO besar berbincang dengan kita tetapi saya enggan menyatakan NGO mana,” ujarnya dalam sidang akhbar
selepas merasmikan Pemukiman Pejuang Negeri Melaka di sebuah hotel di Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden Pejuang, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan Timbalannya, Datuk Marzuki Yahya.

Ditanya mengenai kerjasama dengan parti politik lain Tun Mahathir menegaskan, jika mereka berpegang kepada
perjuangan Pejuang, tidak mustahil untuk menjalinkan kerjasama namun bukan untuk mewujudkan satu gabungan.

Sebaliknya kata Mahathir berkata, kerjasama itu berlaku hanya apabila tiba pilihan raya dan bukan buat
masa ini.

Beliau berkata, pada waktu ini bukan masa yang sesuai untuk mengadakan rundingan dengan parti lain kerana
apa paling penting ialah menjelaskan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu kerana yang miskin kerana
menjual tanah.

“Setakat ini, kita tidak didatangi oleh mana-mana pemimpin parti lain. Pejuang hendak bertanding dalam
PRU-15 bukan hendak jadi Perdana Menteri. Kalau dah menang pilihan raya baru boleh cakap hendak jadi PM
kalau dah kalah nak cakap apa?,” ujarnya.

Beliau menegaskan, Pejuang tidak akan bekerjasama dengan parti yang mengejar kedudukan untuk menjadi
Perdana Menteri dan Menteri menyebabkan ramai orang Melayu ketika ini merasa kecewa.

 

(Visited 241 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button