Nasional

PRU15: 10,097 anggota tentera, pasangan undi awal di Melaka

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain berkata, beliau berpuashati apabila 10,097 anggota tentera dan pasangan masing-masing di negeri ini menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) hari ini.

Menurutnya, proses mengundi dalam kalangan anggota tentera dan pasangan tersusun dan tidak berlaku kesesakan di tujuh Pusat Pengundian Awal (PPA) sejak dibuka bermula pukul 8.00 pagi tadi.

Beliau berkata, sebagai contoh di Kem Terendak mereka yang keluar mengundi mengikut pasukan dan masa-masa tertentu sehingga proses pengundian tamat pada pukul 5.00 petang.

Menurutnya, Melaka menjadi lokasi pertamanya meninjau sebahagian daripada PPA di beberapa negeri lain yang akan dilawati bagi memastikan proses mengundi berjalan lancar.

“Saya turun ke bawah bukan mahu mengganggu tetapi untuk tengok proses undi awal ini supaya ianya diselaraskan dengan betul dan anggota tidak perlu berpusu-pusu untuk mengundi.

“Saya mahu mereka semua menunaikan tanggungjawab keluar mengundi untuk memilih kerajaan yang terbaik untuk negara kita,” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau proses mengundi di PPA Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 2, Sungai Udang di sini hari ini.

Hadir sama Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Ab. Rashid.

Dalam satu kenyataan, seramai 10,097 tentera dan pasangan adalah terdiri daripada 7,911 anggota dan 2,186 pasangan yang mengundi di empat lokasi tentera di Parlimen Tangga Batu, Hang Tuah Jaya, Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Bagi lokaliti di Kem Terendak dan Sungai Udang terdapat seramai 9,570 pengundi terdiri daripada 7,571 anggota tentera 1,999 pasangan terlibat sebagai pengundi berdaftar.

Terdapat tujuh PPA di negeri ini iaitu di SK Terendak 1, SK Terendak 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Terendak manakala Dewan Borhan di Kem Sungai Udang.

Tiga PPA lain ialah Bilik Gerakan 96 Depot Pusat Peluru (DPP) di Kem Masjid Tanah; Dewan Sri Beruang Rejimen 514 Askar Wataniah dan Bilik Pusat Latih Palapes, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).- SM

(Visited 231 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button