Nasional

Kerajaan tidak laksanakan cukai baharu termasuk GST

PERDANA Menteri memberi jaminan tidak ada cukai baharu termasuk GST akan diperkenalkan pada tahun ini bagi menampung kenaikan hutang negara.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebaliknya kerajaan akan mengetatkan pengurangan subsidi bagi golongan kaya supaya yang miskin tidak terus dibebani. 

“Kita tidak bercadang untuk perkenalkan GST atau cukai kepenggunaan, yang kita akan perketatkan adalah pengurangan subsidi bagi golongan kaya seperti mana yang dilakukan subsidi elektrik.

“Walaupun ada keputusan kerajaan sebelum ini untuk menaikkan tarif elektrik, kerajaan sekarang sudah batalkan dan mengenakan cukai itu kepada T20 iaitu syarikat besar melainkan syarikat yang terlibat dalam isu food security,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Wong Kah Woh (PH-Taiping) di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Kah Woh bertanya adakah Perdana Menteri akan memperkenalkan cukai baharu kepada rakyat bagi menampung hutang negara yang semakin meningkat.

Dalam masa yang sama, Anwar turut menjelaskan terdapat beberapa langkah lain yang boleh dibuat dalam mengurangkan ketirisan seperti dalam isu subsidi diesel sebanyak RM20 bilion.

“Maknanya kalau boleh selamatkan RM5 ke RM6 billion daripada ketirisan itu, ia akan membantu, begitu juga beberapa hal lain penjanaan pertumbuhan ekonomi, kesediaan pelabur domestik dan asing yang mula masuk ke dalam negara, saya percaya hasil akan meningkat tanpa membebankan rakyat secara umum,” ujarnya. – SM

(Visited 168 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button