NasionalNegeri

Hakim Syarie mesti junjung prinsip integriti – Pemangku Raja Perlis

SESEORANG Hakim Syarie wajib dan mesti menjunjung prinsip integriti dalam setiap tindak tanduk, titah Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, integriti adalah melakukan perkara yang betul dan sahih, walaupun tiada insan lain yang melihat.

Titah Baginda, Hakim Syarie juga haruslah menjaga etika sebagai seorang Hakim dan yang paling penting adalah untuk mengelakkan apa-apa tohmahan oleh masyarakat.

“Pada masa yang sama gunalah budi bicara Hakim Syarie dengan penuh hikmah supaya sistem perundangan dan kehakiman syariah akan sentiasa dipandang mulia oleh masyarakat,” titah Baginda lagi.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan menerima sembah mengadap Ketua Pengarah yang juga Ketua Hakim Syarie Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia, Datuk Mohd Amran Mat Zain di Kuala Lumpur, semalam.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Mohd Amran diiringi Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia yang juga Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Perlis, Datuk Mohd Shukor Sabudin dan Datuk Mohamad Shakir Abdul Hamid serta Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Perlis, Mohd Abu Hassan Abdullah.

Turut hadir Mufti Perlis, Prof Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs),Mohd Nazim Mohd Noor. – SM

BACA Peguam syarie perlu kekalkan integriti, etika dan komited – Raja Muda

BACA Hakim Syarie perlu kaji bidangkuasa Mahkamah Syariah – Raja Muda Perlis

(Visited 54 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button