Nasional

Debat Perdana Najib-Anwar 12 Mei depan

DEBAT Perdana antara Datuk Seri Najib Razak dan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan diadakan pada 12 Mei ini.

Tarikh tersebut diumumkan secara bersama dalam sidang media yang diwakilkan kepada Ketua Penerangan Barisan Nasional Negeri Selangor, Isham Jalil dan YB Fahmi Fadzil (PKR).

 

Menurut Fahmi yang membacakan kenyataan bertulis, Debat Perdana itu akan diadakan di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.

“Debat ini diadakan secara langsung di media-media sosial yang akan diumumkan kelak dan secara fizikal di dewan atas jemputan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Najib,” katanya.

Fahmi berkata, debat itu juga akan disiarkan secara langsung oleh stesyen penyiaran, bermula pada pukul 9 malam.

Format Debat Pedana itu nanti, kata Isham pula, akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu berhubung permasalahan yang dihadapi oleh syarikat minyak dan gas, Sapura Energy yang sama ada ia perlu diselamatkan atau tidak.

“Bahagian kedua, berhubung masa depan negara yang merangkumi aspek ekonomi, politik, urus tadbir serta hala tuju negara.

“Dan yang ketiga, sesi soal jawab,” jelas Isham.

Durasi bahagian pertama, kata Isham, dianggarkan mengambil masa setengah jam manakala bahagian kedua, mungkin mengambil masa lebih sedikit kerana ia menyentuh hal negara secara umum.

“Kita jangkakan Debat Perdana ini mengambil masa antara satu jam setengah hingga dua jam,” katanya.

Menjawab soalan pemberita, persetujuan di antara Najib dan Anwar untuk mengadakan debat bukanlah satu jajaran baharu.

Walaupun ini kali pertamaUMNO, Barisan Nasional dan PKR duduk sebaris, kata Isham, kerjasama menganjurkan debat bukan kerjasama politik.

“Apa yang diperlihatkan kepada rakyat ialah kematangan politik

“Mungkin ada persaingan idea atau hujah tetapi apabila ahli politik dan Ahli Parlimen masuk Parlimen, mereka berdebat juga,” ujar Isham.

Katanya, bukan mudah untuk mendapatkan persetujuan untuk mengadakan debat.

Itulah sebabnya, pemahaman yang perlu ada ialah debat bukan pertelingkahan atas pentas.

Pandangan Isham dipersetujui oleh Fahmi dan menambah, pandangan serong terhadap ahli politik dan Ahli Parlimen perlu diperbetulkan.

“Apabila dianjurkan program seperti ini kita buka hati rakyat Malaysia untuk melihat politik yang lebih matang.

“Kita tidak bermusuhan atau dendam kesumat walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk penjara ketika Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri,” kata Fahmi.

Beliau berkata, boleh diketepikan perbezaan.

“We can forgive but not forget. Kita kena move forward dengan idea, ketrampilan, gagasan dan pandangan yang membezakan,” jelas Fahmi.

Debat Perdana Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Anwar, kata Fahmi adalah bagi mendepani persaingan politik dengan cara yang sihat. – SM

(Visited 279 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button